ICU penuh paksa doktor pilih pesakit Covid-19 kritikal


Mohd Farhan Darwis

Setiap hari katil ICU sentiasa penuh, kalau ada pesakit discaj atau meninggal dunia, dalam beberapa jam saja katil sudah diambil pesakit lain, kata doktor di HKL. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Jun, 2021.

DOKTOR terpaksa memilih untuk menyelamatkan pesakit Covid-19 yang berpotensi pulih saja kerana katil unit rawatan rapi (ICU) sentiasa penuh, kata pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pakar jagaan intensif ICU Dr Koo Thomson berkata jumlah kes baharu kini berkurang ke angka 4,000 hingga 6,000 kes sehari, namun kes yang dirujuk ke ICU masih tinggi.

Setiap hari, unit yang mampu menampung hingga 72 pesakit kritikal itu menerima rujukan antara 10 hingga 20 pesakit Covid-19, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Setiap hari katil ICU sentiasa penuh, kalau ada pesakit discaj atau meninggal dunia, dalam beberapa jam sahaja katil sudah diambil pesakit lain.

“Sejak Mei hingga sekarang keadaan masih belum bertambah baik… Setiap pesakit yang dimasukkan ke ICU boleh berada di sini antara seminggu hingga ke dua minggu dan mungkin lebih lagi.”

Jelasnya, pesakit kritikal kategori empat dan lima sememangnya perlu rawatan rapi seperti bantuan oksigen untuk bernafas disebabkan kerosakan organ seperti paru-paru, hati dan jantung.

Namun kekurangan katil itu menyebabkan doktor terpaksa mengutamakan pesakit lebih muda dan pesakit yang tidak mempunyai latar belakang penyakit lain.

“Tetapi selalunya bukan semua pesakit yang perlu ICU dapat masuk ICU kerana kita ada kekurangan katil jadi doktor terpaksa pilih siapa nak diutamakan.

“Kita mahu bawa masuk semua pesakit tapi kita kekurangan katil, kita terpaksa pilih yang ada peluang terbaik dan dapat harapan sembuh di ICU,” katanya.

Keadaan itu berlaku walau kapasiti ICU HKL meningkat lebih sekali ganda sejak April daripada 30 katil kepada 72 katil selepas ditukar kepada wad khusus Covid-19, katanya.

Sehingga semalam seramai 869 kes memerlukan rawatan ICU daripada keseluruhan 61,162 pesakit Covid-19 yang sedang dirawat dalam negara.

Kadar kegunaan katil ICU itu membimbangkan apabila meningkat dari 96% pada 25 Mei kepada 104% dua minggu kemudian sewaktu jumlah kes naik mendadak.

Keadaan itu berlaku walaupun kegunaan katil untuk kes Covid-19 bukan kritikal menurun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada waktu itu.

Mengulas kekangan tersebut, Dr Koo berkata ia turut menyebabkan doktor mengutamakan tempat di ICU bagi pesakit Covid-19 baru merosot berbanding individu yang sudah lama tidak sihat.

“Pesakit yang mungkin keadaan di rumah sudah tidak berapa sihat, keutamaan untuk dimasukkan ke ICU kurang berbanding pesakit yang sangat sihat sebelum itu,” katanya.

Rawatan di ICU

Sebaik pesakit dimasukkan ke ICU, keadaan mereka akan dipantau dan diberikan rawatan menggunakan alatan bantuan pernafasan dan juga beberapa prosedur, katanya.

Ia termasuk intubasi, iaitu proses memasukkan tiub mengikut saluran pernafasan atau trakeastomy, iaitu dengan menebuk lubang kecil di bahagian leher pesakit.

Sekiranya pesakit juga mengalami kegagalan organ seperti buah pinggang, doktor perlu melakukan prosedur untuk membolehkan pesakit didialisis, katanya.

Selain itu, pesakit juga diletakkan dalam keadaan prone atau meniarap sekurang-kurangnya 16 jam bagi membolehkan paru-paru menerima lebih banyak oksigen dan pemberian ubat.

“Salah satu ubat yang digunakan adalah steroid, daripada kajian ada bukti ia boleh membantu rawatan dan ubat-ubatan lain masih dalam kajian,” kata Dr Koo.

Pada masa sama, pesakit perlu terus disokong dengan alat pernafasan dan rawatan pemulihan organ yang mengalami kerosakan.

“Steroid memang ada kebaikan untuk pesakit, dan yang penting sekarang vaksin,” katanya yang betugas menjaga pesakit di wad ICU Covid-19 di HKL sejak April lalu.

Pilihan sukar

Doktor kemudian menghadapi pilihan sukar apabila pesakit tidak menunjukkan respon positif terhadap semua rawatan yang diberikan.

Ia biasanya berlaku apabila pesakit mengalami kegagalan fungsi lebih dari satu organ, katanya.

“Pesakit seperti ini kami tahu walaupun kami buat yang terbaik, kemungkinan tinggi tidak akan selamat dan pesakit akan meninggal dunia. Bagi pesakit seperti ini kami buat rawatan ubat.

“Kami tahu pesakit ini apabila jantung mereka berhenti kalau kita buat CPR (bantuan pernafasan) pun tidak akan membantu kerana keadaan mereka sangat teruk.

“Kalau buat juga CPR pesakit akan lebih sengsara,” kata Dr Koo lagi.

Jelasnya, langkah itu juga salah satu peringkat rawatan dengan mengurangkan kemudaratan lebih besar.

“Bukan kami tak mahu tolong, sebab mengurangkan kesakitan juga salah satu jenis rawatan dan dengan cara itu kami memastikan tak membuat pesakit lebih sengsara.

“Keputusan untuk pesakit mana satu kami mahu selamatkan, sebenarnya kami mahu selamatkan semua pesakit,” tambah Dr Koo lagi.

Pada masa itulah doktor akan memaklumkan kepada keluarga situasi yang berlaku sebelum pesakit meninggal dunia untuk membantu mereka bersedia menghadapi khabar duka, katanya.

Pakar jagaan intensif ICU Dr Koo Thomson berkata jumlah kes baharu Covid-19 berkurang ke 4,000 hingga 6,000 kes sehari, namun kes dirujuk ke ICU masih tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Jun, 2021.

Berita itu penting bagi keluarga kerana tiada pelawat dibenarkan untuk menziarahi pesakit di sepanjang tempoh rawatan kerana Covid-19 sangat mudah berjangkit.

Oleh itu, doktor akan memaklumkan kepada keluarga keadaan pesakit setiap hari menggunakan panggilan telefon atau panggilan video sekurang-kurangnya sekali dalam sehari, katanya.

“Sokongan keluarga sangat penting, bila pesakit dalam keadaan sedar tidak diberi ubat tidur, kami benarkan mereka buat panggilan video untuk keluarga beri sokongan dan dorongan.

“Kalau pesakit perlu diintubasi, mereka diberi ubat tidur supaya tidak berasa sakit dan sengsara, jadi kami benarkan mereka buat panggilan video sebelum memulakan prosedur,” kata Dr Koo.

Unit ICU juga katanya menyediakan telefon bimbit khas untuk digunakan pesakit yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi keluarga.

“Kalau pesakit sedar dan ada telefon bimbit sendiri kami benarkan mereka menghubungi keluarga bila-bila masa kerana memberi dorongan kepada pesakit sangat penting kepada mereka.

“Ini keadaan yang tak boleh dielakkan, kalau boleh kami mahu pesakit bersama keluarga kerana itu sangat penting,” katanya.

Kadar kematian itu kekal tinggi antara 80 hingga 100 orang sehari sejak sebulan lalu.

Seramai 84 orang lagi maut semalam, menjadikan jumlah 4,721 kematian sejak Covid-19 mula dikesan di dalam negara pada awal tahun lalu.

Sangat sukar sembuh

Bagi pesakit yang berjaya mengatasi virus itu pula, kebanyakannya sangat lemah dan proses penyembuhan kepada keadaan sebelum dijangkiti Covid-19 sangat sukar.

“Mungkin boleh sembuh tapi memerlukan masa yang lama dan memang sangat susah.

“Bukan saja sebab mereka di ICU, badan mereka jadi lemah, Covid-19 turut meninggalkan kesan parut di paru-paru mereka.

“Jadi pernafasan mereka tidak akan kembali seperti dahulu. Mereka akan mengalami kesukaran bernafas,” katanya yang berpengalaman bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Seramai 5,411 lagi kes berjaya sembuh semalam, lebih rendah berbanding kes baharu sebanyak 5,841 pesakit, dan 90% berjaya sembuh dari keseluruhan 716,847 kes setakat ini. – 29 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen