JUMLAH maut akibat Covid-19 melepasi 5,000 hari ini walaupun negara melaporkan penurunan kematian selama dua hari terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan.
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 57 kematian dilaporkan setakat tengah hari ini, turun berbanding 60 kematian yang dilaporkan semalam.
Angka terbaru ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara ini kepada 5,001.
Sebagai perbandingan, jumlah kematian setakat 31 Disember 2020 ialah 471 orang.
Daripada 57 kematian hari ini, Selangor dan Negeri Sembilan melaporkan kematian dua angka iaitu masing-masing dengan 15 dan 13.
Negeri lain yang melaporkan kematian ialah Johor (6), Melaka (5), Kuala Lumpur, Labuan dan Perak (masing-masing 3), Sarawak, Kedah, Pahang dan Kelantan (masing-masing 2) dan Pulau Pinang (1).
Sebanyak empat mangsa dinyatakan maut sebelum sampai di hospital.
Mangsa paling tua hari ini seorang wanita 96 tahun yang menderita Covid-19 di Negeri Sembilan, sementara mangsa paling muda, juga seorang wanita berusia 33 tahun yang meninggal dunia di Labuan.
Walaupun jumlah kematian akibat Covid-19 menurun sejak dua hari terakhir ini, kemasukan ke unit rawatan rapi pula meningkat dari 866 pada Sabtu kepada 899 hari ini.
Jumlah mereka yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat kepada 451 orang.
Sementara itu, jumlah kes aktif juga terus meningkat sejak tiga hari terakhir ini ketika kes baharu melebihi kes yang telah pulih.
Hari ini, Malaysia mencatatkan 5,218 kes baharu berbanding 4,744 kes yang telah sembuh. Ini meningkatkan kes aktif kepada 61,812. - 28 Jun 2021.

Komen