BAYARAN tunai berjumlah RM4.6 bilion akan disalurkan kepada golongan miskin tegar, B40 dan juga M40 bermula Ogos melalui Bantuan Khas Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, isi rumah dari golongan miskin tegar akan menerima RM500 pada Ogos dan RM500 lagi pada November dan seterusnya RM300 pada Disember.
Golongan bujang miskin tegar pula akan menerima RM200 pada Ogos dan RM300 pada November, katanya ketika menyampaikan perutusan khas petang ini.
Isi rumah kategori B40 juga akan menerima RM500 pada Ogos dan Rm300 pada Disember, dan golongan bujan dalam kategori itu akan merima RM200 pada Ogos, katanya.
Isi rumah golongan M40 pula akan menerima RM250 pada Ogos dan bujang dalam ketegori itu akan menerima RM100 pada bulan sama.
Bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkannya.
“Nilai keseluruhan pakej Pemulih berjumlah RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion,” kata Muhyiddin.
Beliau juga berkata, kerajaan akan menyalurkan RM500 kepada setiap pekerja yang hilang pekerjaan dengan berpandu kepada data KWSP dan Perkeso.
“Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta,” katanya.
Ia diumumkan sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ke dilanjutkan satu tarikh yang tidak dinyatakan dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara.
Sehari sebelum PKP penuh berkuatkuasa pada 31 Mei lalu, beliau mengumumkan penerima BPP akan mendapat bayaran tunai sehingga RM500 ringgit pada bulan Julai.
Menurutnya, bayaran tersebut dibuat secara berperingkat mulai 29 Jun.
Beliau pada waktu itu juga mengumumkan, BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 ringgit akan dibayar pada bulan September.
Pemohon yang baru lulus rayuan juga akan mendapat bayaran BPR pada September, katanya.
Muhyiddin juga berharap tiga langkah itu dapat memberi bantuan sewajarnya kepada golongan terbabit untuk setiap bulan bermula Jun hingga Disember. – 28 Jun, 2021.
Komen