PELANJUTAN tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh seluruh negara dilihat sebagai berlebih-lebihan dan hanya akan merudumkan lagi ekonomi, kata lima persatuan peruncit dan membeli-belah.
Mereka berkata kerajaan perlu mengkaji semula keputusan tersebut bagi mengelakkan perniagaan ditutup selain lebih ramai pekerja dibuang.
Persatuan-persatuan itu berkata mereka kecewa dengan lanjutan PKP penuh ini walaupun sebelum ini mereka memohon agar PKP dilaksanakan berdasarkan kawasan atau sektor yang dijangkiti Covid-19 sahaja.
“Alasan untuk membuat PKP menyeluruh sangat berlebih-lebihan tidak perlu sehingga menyebabkan lebih banyak kerosakan ekonomi, terutama menghukum sektor-sektor yang dengan tekun mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Dengan kata lain, ‘zon selamat’ dihukum secara tidak adil berbanding mereka yang berada di kawasan panas,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan bersama.
Lima persatuan itu ialah Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Pertubuhan Peruncit Bumiputra (BRO) dan Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA).
Mereka berkata data Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan sektor runcit dan membeli-belah, termasuk di luar kawasan membeli-belah, hanya menyumbang 0.8% dari semua kes Covid-19 pada Mei 2021, bahkan sebelum PKP penuh yang bermula pada 1 Jun.
Mereka berkata angka ini ketara dan sangat rendah, membuktikan kepatuhan industri runcit dan pasar raya terhadap SOP.
Tambahnya, mereka tidak boleh didenda menutup operasi mereka.
“Kami tidak faham mengapa pusat membeli-belah dan peruncitan kami sekali lagi ditangani secara tidak adil dengan hukuman ini walaupun kami telah mematuhi semua SOP sepenuhnya dan mengekalkan rekod baik tetapi tetap dihukum secara tidak wajar.
“Untuk mengelakkan penutupan perniagaan tetap dan pemecatan pekerja yang lebih banyak lagi, adalah lebih baik membiarkan semua sektor ekonomi yang tidak berisiko dibuka semula dengan segera, terutama pusat membeli-belah dan kedai runcit.”
Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata PKP penuh tidak akan berakhir hari ini, tetapi akan berakhir apabila kes harian Covid-19 mencapai 4,000 atau ke bawah, pengurangan penggunaan ICU dan pemberian vaksin 10% penduduk.
Tempoh ini akan dikenali sebagai Fasa 1 dari Pelan Pemulihan Negara, dan lebih banyak sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi pada fasa berikutnya, katanya. – 28 Jun, 2021.
Komen