Terapi antibodi berkesan lawan Covid-19, lapor jurnal sains


TERAPI antibodi seperti sotrovimab dikenalpasti sebagai antara senjata berkesan untuk menentang Covid-19 dan coronavirus yang berupaya menjadi pandemik, lapor jurnal sains berpengaruh Nature.

Laporan itu menyorot perkembangan kajian sotrovimab keluaran Vir Therapeutics dan Glaxosmithkline yang mendapat kelulusan untuk kegunaan kecemasan oleh agensi kawalan ubat Amerika Syarikat sejak sebulan lalu.

Ubat antibodi itu mula digunakan di Abu Dhabi pada 16 Jun lalu dan sejak itu, laporan media tempatan mendakwa ia berjaya menunjukkan kesan besar ke atas rawatan Covid-19.

Selang dua hari selepas rawatan itu bermula, Gulf News melaporkan sotrovimab didapati mengurangkan 85% kematian, dan juga jumlah kes Covid-19.

Khaleej Times pula menyebut, ubat tersebut digunakan kepada kes yang dirawat pada peringkat awal dan  boleh digunakan ke atas semua varian Covid-19.

Ubat sotrovimab itu dilaporkan diberi kepada individu berusia lebih 12 tahun yang berpotensi mengalami Covid-19 lebih seirus.

Ia didapati membantu rawatan ke atas individu berusia lanjut dan dengan komorbiditi dan golongan rentan menurut seorang pakar Burjeel Hospital yang dipetik dalam laporan itu.

Nature menjelaskan, antibodi itu dihasilkan dengan mengambil contoh antibodi luar biasa dari individu yang dikesan mampu meneutralkan apa-apa varian Covid-19 dan coronavirus berkaitan.

Ia menerangkan bahawa antibodi yang dibuat dalam makmal itu dihasilkan atau terdiri dari sel tunggal atau monoclonal antibody.

Kelulusan kecemasan oleh Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat pada pertengahan Mei disebut sebagai Nature sebagai satu senjata ampuh untuk menentang Covid-19.

Menurut FDA, kelulusan kecemasan itu bermakna keberkesanan dan keselamatan ubat itu masih lagi dalam penilaian bagi rawatan Covid-19.

Ia juga tidak dibenarkan diguna untuk pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan oksigen dan yang sudah dimasukkan ke hospital.

Kajian ke atas sotrovimab itu dilaporkan bermula dengan darah individu yang didapati pulih dari jangkitan severe acute respiratory syndrome (SARS) pada 2003.

Darah tersebut dilaporkan diambil daripada individu berkenaan 10 tahun kemudian.

Selain Vir Therapeutics dan Glaxosmithkline, kajian melibatkan terapi antibodi itu dijalankan firma Adagio Therapeutics, Eli Lilly dan Regeneron.

Syarikat pemula seperti Centivax, Corat Therapeutics, IDBiologics, Leyden Labs, Memo Therapeutics dan SpikImm juga kini dilaporkan membangunkan antibodi Covid-19. – 28 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen