Nilai ambang dan peraturan pemulihan Covid-19 yang tidak masuk akal


Jahabar Sadiq

Peraturan sepanang sekatan pergerakan yang dilihat tidak masuk akal memberi kesan kepada perniagaan dan kehidupan rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2021.

SEGALA apa yang salah tentang Malaysia hari ini tergambar daripada tindakan menteri ekonomi Mustapa Mohamed makan di sebuah kafe pada hujung minggu lalu.

Beliau tidak terfikir pada masa itu tindakannya, makan di kafe di kawasan parlimen yang diwakilinya Jeli, salah. Pemilik kafe juga tidak fikir begitu ketika ahli parlimennya datang untuk melihat keadaannya.

Makan di tempat sekarang ini salah tetapi Mustapa tidak perlu letak jawatan seperti bekas menteri kesihatan United Kingdom Matt Hancock kerana berhubungan sulit dengan pembantunya di pejabatnya.

Ya, Mustapa salah kalau kita mengukurnya dengan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh yang diberi nama baharu Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Namun adakah peraturan itu betul?

Sebagai rujukan, garis penentu untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi ialah jumlah jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000, penggunaan sederhana katil di unit rawatan rapi (ICU) dan 10% penduduk sudah selesai disuntik vaksin.

Kita masih jauh lagi daripada mana-mana tiga petunjuk itu, apalagi untuk membenarkan makan di tempat pada Fasa 3 pelan pemulihan apabila kes jangkitan kurang daripada 2,000 sehari dan 50% penduduk sudah disuntik vaksin.

Ini bermakna pengusaha warung teh mahupun restoran mewah hanya boleh membuka perniagaan mereka untuk makan di tempat apabila semakin kurang orang di seluruh Malaysia dijangkiti dan setelah program imunisasi kerajaan berjalan lancar.

Ini bermakna mereka di Langkawi atau malah di Bario, yang tiada kes jangkitan berbulan-bulan, harus menunggu seluruh negara mencapai petunjuk-petunjuk yang ditetapkan untuk kembali berniaga seperti asal.

Bilakah itu akan berlaku? Sejauh mana petunjuk-petunjuk ini berasaskan sains dan data?

Kenapa sektor ini dijerut kerana tindakan pihak lain?

Dan, kenapa juga hal-hal rutin seperti pemeriksaan kenderaan atau cukai jalan pun tertakluk pada petunjuk dan peraturan ini?

Siapa yang mencadangkan peraturan yang tidak masuk akal ini, yang menjejaskan banyak orang? Apa garis penentu mereka?

Akal yang berfikir mahu tahu dan perlu tahu.

Jika tidak, lebih banyak perniagaan akan tutup dalam sekatan penuh tanpa penghujung. Apatah lagi bukannya ada banyak bantuan pun untuk mereka setakat ini.

Dalam bahasa mudahnya, kalau Covid-19 tidak membunuh ‘Mak Cik Kiah’,  ambang fasa pemulihan dan peraturannya akan membunuh perniagaan beliau dan mencampak beliau hidup dalam kesusahan. – 28 Jun, 2021.

 

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen