Pemilik restoran rayu kurangkan denda RM10,000


Noel Achariam

Restoran Rata di Subang dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar waktu operasi penutupan kedai makan. – Gambar Facebook, 27 Jun, 2021.

SEORANG pemilik restoran di Subang Jaya, Selangor berharap mendapat kelonggaran daripada pihak berkuasa kerana melanggar waktu operasi penutupan kedai makan.

Pemilik restoran Rata dan chef T. Vicneswara, 29, memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia dikenakan denda RM10,000 pada malam Jumaat.

Menurutnya, dia akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan esok sambil menambah bahawa perniagaannya merosot sebanyak 85% sejak sekatan pergerakan penuh.“Perniagaan ini bergantung pada perkhidmatan penghantaran untuk terus bertahan.

“Gaji kakitangan yang perlu saya tanggung adalah RM20,000 dan sewa RM11,000. Perniagaan saya akan terjejas teruk jika saya perlu membayar jumlah keseluruhan. 

“Sekiranya saya perlu membayar keseluruhannya, bagaimana cara untuk saya bayar gaji kakitangan dan bil lain. Kami harap dapat belas kasihan,” katanya. 

Dalam menceritakan kejadian yang berlaku pada malam Jumaat, Vicneswara berkata dia sedang menyiapkan beberapa pesanan terakhir ketika pihak berkuasa datang ke restorannya pada jam 8.30 malam.

“Sebelum jam 7.30 malam, kami menerima kira-kira lima pesanan besar iaitu lebih 20 hidangan.

“Kemudian pada jam 7.30 malam, mesin penjualan berhenti dan tidak ada pesanan lagi. 

“Kerana pengurangan 60% kakitangan, kami hanya mempunyai empat tukang masak yang bekerja. Oleh itu, sukar untuk menyiapkan semua hidangan pada jam 8 malam,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau berkata mereka sedang dalam proses menyiapkan pesanan yang belum selesai dan melakukan kerja pembersihan ketika anggota penguatkuasaan dari Majlis Bandaraya Subang Jaya, polis dan pegawai kesihatan datang ke restoran berkenaan.

“MBSJ mengeluarkan denda kerana operasi restoran itu melepasi waktu yang ditetapkan dalam SOP PKP 3.0.

“Kami cuba menjelaskan kepada mereka (pihak berwajib) bahawa kami sedang menyelesaikan pesanan dan membersihkan restoran tetapi kami masih dikompaun. 

Dia berkata, waktu makan malah adalah waktu mereka menerima pesanan paling banyak yang mana membantu perniagaan mereka.

 “Kami bertahan dengan hasil jualan untuk makan malam dan bukan waktu makan tengah hari atau minum petang.

Dia juga berkata restorannya sudah mematuhi semua SOP yang dikeluarkan kerajaan.

“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan restoran beroperasi sehingga jam 10 malam.

“In membantu kami menjana pendapatan yang diperlukan untuk operasi kami,” katanya. – 27 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen