JUTAAN penduduk Sydney memulakan kuncitara selama dua minggu bermula Ahad, dalam usaha Australia mengekang penularan varian Delta Covid-19.
Restoran, bar dan kafe ditutup selepas arahan duduk di rumah untuk kejiranan di tengah kota itu diperluas ke seluruh Sydney dan kawasan pesisir pantai serta pergunungan di wilayah itu.
Pihak berkuasa pada mulanya hanya mengenakan sekatan pergerakan di kawasan perniagaan dan kejiranan timur Sydney, tetapi peningkatan mendadak kes di kawasan lain menyebabkan langkah drastik diperkenalkan pada petang Sabtu.
Darwin, sebuah bandar di utara Australia juga akan menguatkuasa kuncitara 48 jam pada Ahad selepas beberapa kes dikaitkan dengan kluster lombong dilaporkan, umum pihak berkuasa Jajahan Utara (NT).
Ketua Menteri NT Michael Gunner berkata pegawai kesihatan bimbang ia tidak mampu menjejaki kontak rapat pesakit di kawasan itu, yang merupakan wilayah dihuni orang asli yang lebih terdedah kepada Covid-19.
“Kami mengambil langkah drastik sekarang untuk menghentikan atau memperlahankan sebarang penularan sebelum koronavirus mengganas di Jajahan ini, dan kerana itu kita perlukan kuncitara,” katanya.
Pakar kesihatan memberi amaran yang kuncitara mengejut singkat di Sydney- yang terbukti berkesan dilaksana di beberapa bandar Australia lain sejak beberapa bulan lepas- tidak mampu mengekang pertambahan kluster, kata Ketua Gladys Berejiklian dari New South Wales dalam satu kenyataan.
Lebih 110 kes Covid-19 dilaporkan sejak seorang pemandu untuk krew penerbangan antarabangsa disahkan positif pada pertengahan Jun lalu, didapati dijangkiti varian Delta yang mula dikesan di India.
“Memandangkan betapa mudah berjangkitnya varian virus ini, kami menganggarkan yang dalam beberapa hari lagi jumlah kes akan meningkat berbanding sekarang,” kata Berejiklian kepada wartawan pada Ahad.
Ledakan wabak terbaru itu mengejutkan bandar yang sebelum ini kembali kepada kehidupan lazim dengan hanya beberapa kes tempatan.
Sekatan di Sydney menghendaki penduduknya untuk duduk di rumah sekurang-kurangnya dua minggu dan hanya keluar untuk membeli barangan keperluan, kesihatan, bersenam, bersekolah atau jika mereka tidak boleh bekerja dari rumah.
Sesiapa dari luar zon kuncitara yang melawat Sydney sejak Isnin lalu perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
Bandar itu adalah bandar terbaru di seluruh Australia yang melaporkan kes Covid-19 yang berpunca daripada pengembara yang dikuarantin di bilik hotel.
Lebih 150,000 orang di Darwin dan kawasan sekitarnya perlu mematuhi arahan duduk di rumah sekurang-kurangnya 48 jam bagi memberikan masa kepada pegawai kesihatan melakukan jejak kontak rapat, yang pertama sejak kuncitara seluruh negara dikuatkuasa pada peringkat awal pandemik.
“Kami yakin yang 48 jam memberikan kami cukup masa untuk buat kerja dan mendapatkan maklumat mencukupi sama ada meneruskan atau membatalkan kuncitara ini,” kata Gunner.
Australia adalah antara negara paling berjaya mengekang Covid-19 di dunia, dengan lebih 30,000 kes dan 910 kematian berbanding jumlah penduduk 25 juta orang.
Tetapi kerajaan berdepan kecaman kerana program vaksinisasi yang lembap dengan hanya 7.2 juta dos disuntik setakat Jumaat lalu dan hanya sebilangan kecil penduduknya menerima kedua-dua dos. – AFP, 27 Jun, 2021.
Komen