PdPR bebankan keluarga berpendapatan rendah


Elill Easwaran

Keluarga berpendapatan rendah berdepan beban kewangan dan perkembangan sosial dan pendidikan terbantut disebabkan PdPR terlalu lama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2021.

KELUARGA berpendapatan rendah yang selama ini bergelut menyara hidup kini berdepan dengan bebanan kos peranti dan naik taraf talian internet untuk sesi pembelajaran dalam talian anak-anak mereka.

Keluarga yang ditemui The Malaysia Insight berkata untuk melazimkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), perbelanjaan mereka naik hingga 50%.

Chong Kah Yen, 43, ibu tunggal anak tiga berkata perbelanjaannya naik hingga 50% kerana perlu membeli telefon pintar dan peranti lain bagi kegunaan anak-anaknya.

“Anak sulung saya menggunakan komputer riba yang saya pinjam dari syarikat saya (bekerja), tetapi saya juga perlu beli telefon pintar untuk dua orang anak lagi.

“Saya juga kena beli mesin cetak dan dakwat selain naik taraf pakej internet saya, semua ini bukannya murah,” katanya.

Chong yang tinggal di PPR Seri Pantai, Kuala Lumpur berkata kesihatan mata anak-anaknya juga kini terjejas kerana terpaksa menghadap skrin telefon dan komputer sepanjang hari.

Tambahnya, kekurangan interaksi sesama rakan sebaya dan dengan guru juga menyebabkan anak-anaknya hilang minat belajar.

“Mereka makin hilang minat belajar sebab mereka tak ada interaksi fizikal dengan kawan-kawan dan guru mereka.”

Chong Kah Yen, 43, ibu tunggal anak tiga berkata perbelanjaannya naik hingga 50% kerana perlu membeli telefon pintar dan peranti lain bagi kegunaan anak-anaknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Jun, 2021.

Menurut Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sekolah hanya akan dibuka semula pada fasa ketiga yang dijangka bermula pada September atau Oktober.

Pelan dibentangkan Putrajaya mensyaratkan pembukaan semula negara secara berfasa yang berdasarkan tiga petunjuk utama- penurunan kes harian Covid-19, peningkatan jumlah peratusan rakyat divaksin dan apabila sistem kesihatan negara tidak lagi kritikal.

Sekolah mula ditutup sejak tahun lepas dan tahun ini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Ia pernah dibuka sementara pada Mac dan April sebelum diarah tutup selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara.

Balvinder Kaur, 57, pula bercerita yang selepas sesi persekolahan ditukar kepada PdPR, dia terpaksa memasang talian internet di rumahnya di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur, seterusnya menaikkan perbelanjaan bulanan.

“Saya pasang WiFi untuk dia, sangat mahal,” tambahnya apabila ada ketikanya dia tidak mampu membayar, iparnya akan membantu menjelaskan bil internet itu.

Balvinder juga terpaksa berkongsi telefon pintar dengan anak lelakinya apabila sesi PdPR dijalankan, selain itu dia juga membeli mesin cetak untuk anaknya mencetak nota diberikan guru.

“Kami tak ada mesin cetak dan kedai pun ditutup sebab lockdown, jadi saya terpaksa beli satu.”

Sama seperti anak-anak Chong, Balvinder berkata anak lelaki juga semakin hilang minat hendak belajar.

“Dia seorang di rumah tanpa interaksi fizikal dengan kawan-kawan sekelas. Bila dia pergi ke sekolah, ada aktiviti dan dia boleh jumpa kawan-kawan,” katanya.

Pelajar kini menjalani PdPR tanpa interaksi sosial dengan rakan sebaya dan guru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Jun, 2021.

Sementara itu, Maizatul Akma terpaksa menukar pelan pra bayar kepada pelan pascabayar supaya anaknya mendapat capaian internet lebih baik ketika sesi PdPR.

“Dia banyak terlepas kelas sebab masalah internet. Saya tukar pelan data saya dari pra bayar kepada pascabayar supaya dapat capaian internet lebih baik untuk dia,” katanya.

Walaupun begitu, Maizatul yang tinggal di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Bangsar, Kuala Lumpur, berkata anaknya masih perlu duduk di luar rumah ketika PdPR untuk mendapat capaian internet.

“Saya harap sekolah akan dibuka semula tak lama lagi sebab jika ini berterusan dia akan hilang minat nak belajar.”

Ketiga-tiga mereka yang ditemui itu juga mendedahkan yang Didik TV, perkhidmatan televisyen pendidikan yang bermula 17 Februari lalu ada membantu pendidikan anak-anak mereka.

Bagaimanapun, apabila ia melibatkan matapelajaran seperti Matematik dan Sains, anak-anak mereka berdepan masalah belajar kerana mereka tidak boleh bertanyakan soalan.

April lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan yang peperiksaan UPSR dihapuskan, manakala PT3 untuk pelajar Tingkatan 3 tahun ini dibatalkan.

Beliau turut mengumumkan yang SPM 2021 akan dijalankan pada Februari 2022 dengan peperiksaan bertulis akan bermula pada Mac tahun depan.

Komputer riba untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah

Tahun lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan yang sekitar 150,000 pelajar yang layak dari 500 sekolah seluruh negara akan menerima peranti bersesuaian untuk PdPR.

Bagaimanapun, setakat 6 Jun 2021, hanya 12,887 unit diedarkan.

Beberapa wakil rakyat berulang kali mempersoalkan tempoh masa edaran komputer riba itu, sehinggakan beberapa orang sudah bertindak sendiri dengan membeli dan menyerahkannya kepada keluarga pelajar yang memerlukan.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengedarkan 500 komputer riba kepada pelajar memerlukan di kawasan diwakilinya. – Gambar Facebook, 27 Jun, 2021.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata beberapa orang guru besar sekolah di kawasan itu meminta bantuannya untuk mendapatkan telefon pintar bagi pelajar yang tidak mampu.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh juga didekati penduduk kawasannya untuk bantuan peranti PdPR.

“Kami tak ada dana untuk beli yang baru jadi kami guna pendekatan padanan, dengan kumpulan penduduk mengumpul dan mengedarkan komputer riba yang tidak digunakan,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga melancarkan Pakej Bantuan Khas Muar Sejiwa untuk penduduk yang diwakilinya.

Di bawah program itu, 300 tablet akan diserahkan kepada pelajar tidak mampu yang memerlukannya untuk sesi PdPR.

Sebelum itu, beliau berjaya mengedarkan 500 komputer riba hasil derma awam. – 28 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen