SEMAKIN ramai penduduk terjejas kerana pandemik Covid-19 yang menyebabkan mereka kehilangan kerja, tampil memohon bantuan makanan berikutan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan, kata wakil rakyat.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata mereka menerima banyak permohonan bantuan bekalan makanan daripada keluarga B40 di kawasan mereka dan ia semakin teruk dengan pelaksanaan sekatan pergerakan ketiga yang berkuatkuasa 1 Jun lalu.
Kawasan Parlimen Kepong dan Segambut terletak di bandaraya Kuala Lumpur. Setakat 2018, Kepong mempunyai 56,516 pengundi berdaftar manakala Segambut mempunyai 77,956.
“Saya menerima permohonan bantuan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama Mac tahun lalu namun kini saya menerima permohonan setiap hari tanpa henti.
“Mereka adalah dari keluarga B40 dan mereka meminta bantuan makanan. Pusat khidmat masyarakat saya kini seperti kedai runcit, saya ada semuanya,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya mereka yang meminta bantuan akan menghubunginya dengan pelbagai cara.
“Ada yang datang ke pusat khidmat saya, WhatsApp, telefon dan hantar mesej menerusi Facebook, Twitter dan emel serta ada juga yang melalui jiran mereka.”
Lim berkata beliau terpaksa menutup separuh daripada pusat khidmatnya bagi mengelakkan kakitangannya kontak rapat dengan orang luar namun masyarakat masih lagi ke pusat khidmatnya untuk mendapatkan bantuan.
“Mereka datang kepada saya atas pelbagai sebab. Ada yang kehilangan kerja atau pendapatan terjejas akibat Covid-19 dan mereka tidak dapat berniaga atau menjual apa sahaja untuk mendapatkan wang,” katanya.
Lim mengagihkan bakul makanan berupa beras, mi, mi segera, makanan dalam tin, biskut dan telur kepada mereka yang datang untuk minta bantuan.

Katanya, beliau turut menerima kunjungan guru besar dari beberapa sekolah di Kepong untuk mendapatkan bantuan membeli gajet kepada pelajar mereka mengikuti kelas dalam talian di rumah.
“Bulan ini saja, saya berikan empat komputer riba dan lima tablet. Ini bukan permintaan ibu bapa, tetapi daripada guru besar.
“Tablet untuk sekolah rendah dan laptop bafu pelajar sekolah menengah Tingkatan 4 dan Tingkatan 5,” katanya.
Lim membantu keluarga dan pelajar menggunakan wangnya sendiri dan menyumbangkan tiga bulan gajinya untuk membantu mereka yang memerlukan di kawasannya.
Walaupun dananya semakin berkurang, Lim berkata beliau tidak akan membuat kutipan awam buat masa ini kerana semua orang berdepan keadaan sukar.
Dalam masa sama, Yeoh berkata beliau turut memberikan bantuan bekalan makanan di flat kos rendah dan kampung di kawasan Parlimennya di Segambut.
“Saya pergi mengikut kawasan dan membuat agihan. Kami memanggil wakil kampung dan flat kemudian hantar bantuan makanan ke sana,” katanya.
Yeoh berkata mereka yang datang meminta bantuan terdiri daripada yang kehilangan pekerjaan dan warga emas.
“Ramai yang pendapatan mereka terjejas. Sekatan pergerakan dan Covid-19 menyebabkan warga emas berdepan kesukaran keluar membeli barangan walaupun mereka ada wang.
“Dengan anak tidak ke sekolah, bil elektrik meningkat dan jumlah keperluan makanan juga meningkat, itu sebabnya mereka meminta bantuan,” katanya.
Yeoh mendapatkan bekalan makanan daripada kumpulan masyarakat sivil dan penduduk di kawasannya yang mendermakan makanan.
Beliau turut menerima permohonan untuk bantuan gajet namun tidak mempunyai dana yang cukup untuk bekalkan yang baharu. Sebaliknya dengan bantuan kumpulan penduduk di kawasan itu, beliau memberikan komputer riba yang dibaik pulih. – 28 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen