PENUNJUK perasaan Lubnan bertindak menyerbu pejabat bank negara di dua bandaraya utama negara itu selepas nilai matawang negara berkenaan mencatat penurunan paling rendah di pasaran gelap, lapor media.
Ratusan penunjuk perasaan turun ke jalan raya di utara Tripoli bagi membantah dan mengecam kejatuhan itu dan keadaan hidup yang sukar, lapor National News Agency.
Beberapa penunjuk perasaan berjaya memecahkan pintu pagar ke cawangan bank negara namun tentera berjaya menghalang mereka daripada menghampiri bangunan itu.
Penunjuk perasaan turut bertindak membakar pintu masuk ke pejabat kerajaan.
Terdapat beberapa lagi penunjuk perasaan yang cuba memecah masuk ke rumah dua wakil rakyat namun berjaya dihalang pasukan keselamatan.
Menurut NNA, bunyi tembakan dilepaskan kedengaran di luar kediaman wakil rakyat Mohammed Kabbara serta terdapat campur tangan tentera untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Di selatan bandaraya Sidon, penunjuk perasaan turut cuba memecah masuk satu lagi cawangan bank negara namun berjaya dihalang oleh pasukan keselamatan.
Tunjuk perasaan turut merebak ke Beirut yang mana terdapat sekumpulan kecil penunjuk perasaan berhimoun di jalan raya dan bertindak membakar tayar. – AFP, 27 Jun, 2021.
Komen