WARGA Sarawak membidas Kementerian Pendidikan Malaysia di media sosial berikutan fakta tidak tepat mengenai makanan popular di Sarawak mi kolok dalam buku aktiviti sekolah Tahun 3.
Buku untuk kegunaan sekolah jenis kebangsaan menyatakan bahawa hidangan itu, yang menjadi kegemaran di kalangan penduduk etnik Cina negeri ini, juga dikenali sebagai kampua yang mana ia satu kesilapan yang membuat penduduk tempatan kesal.
Amelia Lim Wen Ching terkejut dengan perkara itu ketika dia mendengar seorang guru membaca bab berkenaan di salah satu kelas anaknya ketika berada di sekolah di Padungan, Kuching.
“Saya terdengar guru itu. Pada mulanya, saya ingatkan saya tersalah dengar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lim berkata dia kemudian memeriksa buku berkenaan untuk memastikan yang dia tidak tersalah dengar.
“Saya dengar dengan betul dan ianya memang mengelirukan,” katanya.
Walaupun kedua-duanya adalah hidangan mi, mana-mana orang Sarawak dapat membezakan rasa kampua - yang sinonim dengan Foochows di tengah Sarawak - dan mi kolok - yang sinonim dengan orang bukan Foochow di bahagian utara negeri ini - yang mana ianya jauh berbeza.
Lim dalam satu posing di Facebook menyatakan, walaupun kedua-dua mi kolok dan kampua adalah mi kering, rasa dan tekturnya berbeza.
Dalam buku aktiviti berkenaan, ia menyatakan nama lain bagi mi kolok adalah kampuan, mi rangkai dan mi kering.

Mi rangkai ialah nama panggilan mi kolok kosong bagi etnik Iban, tanpa hirisan daging atau daging cincang.
Kebiasaannya ia dihidangkan di kawasan pekan di pedalaman yang kebanyakan penduduknya dari kalangan etnik Iban.
Lim menyatakan kekecewaannya apabila silibus pendidikan mengajar anak-anak bahawa makanan tradisi Sarawak adalah sama.
Apa yang lebih mengecewakannya adalah buku berkenaan diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan.
Namun dia lebih sedih apabila guru yang mengajar subjek berkenaan tidak melakukan apa-apa kecuali terus mengajar berpandukan buku berkenaan.
“Jika ini bukan buku teks sekolah, saya rasa ramai yang tidak peduli,” katanya.
“Saya sangat berharap kementerian dapat memperbetulkan kesilapan.”
The Malaysian Insight turut membawa isu berkenaan untuk perhatian Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Michael Manyin dan masih menunggu maklum balas.
Ketika Lim memuat naik kesalahan berkenaan di Facebook, ia mencetuskan reaksi marah daripada ramai pihak.
Seorang pengguna Facebook, Daniel Cm Tan berkata “Pendidikan Malaysia dalam longkang sejak 30 tahun lalu.”
Seorang lagi pengguna Facebook menulis dengan sinis, “Jadi..nama lain bagi mi jawa ialah mi mamak? Boleh cetak di buku teks juga?”
“Kita tidak perlu terkejut,” kata anak jati Kuching yang juga pengarah Asia Institute di University of Tasmania James Chin berhubung isu itu.
“Lagipun, sebilangan orang Melayu menganggap kita tinggal di rumah-rumah pokok.” – 27 Jun, 2021.
Komen