Beri bantuan, bukan galak rakyat berhutang, kata Mat Hasan


Keputusan KPKT benarkan sektor Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjam Wang hanya akan menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.

MEMBENARKAN sektor Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjam Wang yang berdaftar beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu keputusan sangat tidak masuk akal, kata Mohamad Hasan.

Keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu hanya akan menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang, tegas timbalan presiden Umno.

“Adakah ini caranya KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan? Di mana munasabahnya mengalakkan rakyat untuk berhutang?

“Inikah namanya strategi pemulihan yang bertangggungjawab?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan menambah keputusan KPKT itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah sangat tidak bermoral. 

Mohamad seterusnya berkata KPKT seharusnya menggunakan rizab kerajaan tempatan untuk melakukan lebih banyak intervensi kebajikan kepada rakyat.

“Rakyat sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh PKP 3.0 yang dilanjutkan.

“Menambah beban hutang bukan penyelesaian untuk keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit,” katanya.

Rabu lalu KPKT umum kerajaan setuju membenarkan sektor Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjam Wang yang berdaftar bawahnya beroperasi semasa PKP berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, KPKT berkata persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu.

Menurut kementerian itu, syarikat-syarikat terbabit perlu membuat permohonan baharu bagi kebenaran beroperasi menerusi dengan mengakses portal Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) bermula 23 Jun. – 26 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen