KERAJAAN Bangladesh semalam umum pelaksanaan perintah berkurung mulai Isnin ini, susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 melibatkan varian Delta di negara itu.
Semua pejabat kerajaan dan swasta diarah tutup selama seminggu, menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan.
“Tiada siapa dibenarkan keluar rumah kecuali bagi tujuan kecemasan,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, jurucakap jabatan kesihatan Robed Amin berkata anggota polis dan pengawal sempadan akan dikerah sepanjang tempoh perintah berkurung. Khidmat anggota tentera akan digunakan apabila perlu, tambahnya.
“Situasi sekarang ini membimbangkan. Jika tidak dibendung segera, kita mungkin akan mengalami keadaan seperti di India,” Amin memberitahu AFP.
Jangkitan Covid-19 di Bangladesh naik mendadak sejak pertengahan bulan lalu. Semalam, sebanyak 6,000 kes baharu dengan 108 kematian dilaporkan di negara itu.
Pihak berkuasa berkata situasi paling teruk dilaporkan di daerah-daerah berdekatan sempadan India.
Angka harian Covid-19 di India dilaporkan turun mendadak sejak beberapa minggu lalu, dengan kurang 50,000 kes direkodkan semalam, berbanding lebih 400,000 kes sehari pada awal Mei.
Bagaimananapun, pihak berkuasa di Maharashtra di barat India semalam mengetatkan sekatan selepas 50 kes varian Delta dikesan di seluruh negara. – AFP, 26 Jun, 2021.
Komen