Beberapa PPV habis bekalan vaksin selama beberapa hari, kata Khairy


Elill Easwaran

Menteri Khairy Jamaluddin mendedahkan beberapa PPV kehabisan bekalan vaksin kerana kadar suntikan yang tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Jun, 2021.

BEBERAPA Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 habis bekalan disebabkan kadar suntikan yang tinggi, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, ini hanya berlaku di beberapa PPV disebabkan mereka belum menerima bekalan baharu vaksin.  

“Disebabkan kadar vaksinisasi yang tinggi, beberapa PPV kehabisan bekalan,” katanya pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama PPV yang berdepan masalah kekurangan bekalan vaksin itu.

Jelasnya, isu itu hanya berlanjutan beberapa hari sahaja dan beliau berharap ia tidak berlaku lagi pada bulan depan kerana Malaysia akan menerima lebih banyak bekalan vaksin.

Awal minggu ini, Khairy berkata pusat vaksinisasi mega akan dibuka untuk meningkatkan kadar vaksinisasi negara apabila bekalan mula sampai.

Khairy berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk membuka PPV mega bersaiz lebih kecil yang boleh menampung kehadiran 3,000 hingga 5,000 orang sehari.

“Kami sedang mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak PPV mega Tier 2, misalnya di Seremban dan kami sedang mencari di semua negeri, kapasiti yang mereka ada dan dipadankan dengan data jadual penghantaran (vaksin) kita.”

Dengan pembukaan PPV di Stadium Bukit Jalil, Kompleks Sukan Bukit Jalil kini mempunyai dua buah PPV terletak berhampiran, sebuah lagi adalah Axiata Arena dengan kapasiti harian hingga 4,000 orang.

Stadium Bukit Jalil akan mengendalikan suntikan vaksin kepada golongan berusia bawah 60 tahun, Axiata Arena pula dikhususkan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU). – 26 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen