SELANGOR akan menerima 20% daripada bekalan vaksin Covid-19 yang akan diterima bulan ini dan bulan depan, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata Selangor sebelum ini menghadapi masalah kapasiti yang menyebabkan proses imunisasi agak perlahan dengan hanya 20,000 dos diberikan sehari.
“Saya ke Selangor untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meningkatkan kapasiti dan kini mereka dapat memberikan 50,000 suntikan vaksin sehari.
“Tetapi mereka perlu beri lebih 100,000 dos sehari dan ini akan dapat dilakukan menerusi pusat vaksin yang semakin bertambah di Selangor,” katanya pada program imunisasi untuk wanita hamil di MITEC hari ini.
Khairy berkata Selangor bertungkus-lumus untuk mencapai sasaran imunisasi kerana ia negeri yang kadar penggunaan vaksin paling rendah.
“Isunya bukan tentang bekalan vaksin saja, tetapi kadar penggunaan agak perlahan tetapi kini sudah mula meningkat,” katanya. – 26 Jun, 2021.
Komen