Putrajaya perlu berbelanja lebih banyak ketika krisis, kata pakar ekonomi


Putrajaya perlu berbelanja lebih banyak bagi memastikan wujud kecairan dalam aktiviti ekonomi yang terjejas kerana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.

PUTRAJAYA perlu berbelanja lebih banyak untuk keluar daripada krisis ekonomi disebabkan Covid-19, kata pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.

 “Ambil contoh isu perolehan misalnya. Perolehan cukai asyik jatuh berdekad lamanya.

“Baru sekarang kita sedar yang kita tak ada banyak (duit) dalam tabung dan kita perlu berbelanja lebih untuk keluar daripada krisis ini. Ini bukanlah lagi soal bila lockdown dah tamat, buka balik dan semuanya akan kembali seperti biasa.

“Tak boleh macam tu. Rakyat tak ada pendapatan, mereka tak mampu nak berbelanja. Jika mereka tak berbelanja, mereka (peniaga) tak boleh keluarkan (produk) untuk orang beli,” kata penasihat penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah itu dalam rancangan Consider This disiarkan Astro Awani.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu “memastikan ada pergerakan” ketika aktiviti ekonomi terganggu, kerana penting untuk memastikan wujud kecairan ekonomi dalam populasi terutamanya untuk membantu kumpulan rakyat yang paling teruk terjejas.

Tambahnya, negara kaya berbelanja besar kerana ia adalah cara keluar daripada krisis berkembar- pandemik dan ekonomi- tetapi negara membangun seperti Malaysia tidak banyak berbelanja. 

“Mereka tak pinjam luar negara, mereka pinjam dalam negara. Jepun adalah contoh klasik tetapi ia juga berlaku di Eropah dan banyak lagi tempat dan mereka tak perlu pun pinjam dari luar,” kata bekas pembantu setiausaha agung untuk pembangunan ekonomi PBB itu.

“Mereka tak perlukannya (pinjaman) untuk tujuan pertukaran asing. Mereka tak mengimport apa-apa. Mereka hanya cuba menjana aktiviti (ekonomi).”

Bagaimanapun, di negara membangun termasuklah Malaysia, politik adalah antara sebab tindakan itu tidak dibuat.

“Sebahagian sebab itu boleh difahami. Secara politiknya ramai orang curiga dengan banyak perkara di negara ini.

“Mereka curiga dengan kerajaan. Sama ada kerajaan akan membelanjakan duit ini dengan betul. Sama ada kerajaan akan menggunakan duit ini untuk membantu mereka yang terjejas teruk atau sekadar beri habuan kepada kroni,” tambahnya. – 26 Jun, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen