Parlimen boleh bersidang seperti biasa, tidak perlu hibrid, kata Pejuang


Parlimen Malaysia masih ditutup ketika negara bergelut dengan krisis wabak Covid-19 sejak lebih setahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.

PARLIMEN sepatutnya boleh bersidang seperti biasa seperti sebelum ini dan tidak perlu dibuat secara hibrid, kata Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), selepas speaker kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkata persidangan dijangka berlangsung seawal akhir Ogos ini.

Setiausaha Agung penajanya Amiruddin Hamzah berkata tiada sebab kenapa Parlimen tidak boleh bersidang seperti biasa atau kendiri seperti sebelum ini kerana pada masa itu ia berlangsung tanpa ada jangkitan atau mencetuskan kluster jangkitan Covid-19.

Persidangan seperti biasa atau kendiri lebih wajar, jelasnya, kerana pada masa ini semua yang terlibat sama ada sudah disuntik vaksin atau sedang diusahakan untuk disuntik vaksin Covid-19.

“Kami berpandangan bahawa sepatutnya persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat boleh dijalankan secara kendiri dengan mengikuti syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 sepertimana telah dijalankan semasa persidangan kedua-dua Dewan tahun lepas. 

“Persidangan kedua-dua Dewan telah berjaya dilaksanakan pada tahun lepas tanpa ada sebarang jangkitan atau mewujudkan kluster Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Amiruddin merujuk persidangan Parlimen yang berlangsung pada tahun lalu, termasuk ketika kerajaan membentangkan Belanjawan 2021 pada awal November 2020.

“Kami Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat dari Parti Pejuang Tanah Air berpandangan sidang Parlimen haruslah dilaksanakan segera secara kendiri bagi memenuhi tanggungjawab ahli-ahli Parlimen membahas dan memutuskan tindakan perlu bagi membawa negara kita keluar dari krisis-krisis kesihatan, politik, ekonomi dan sosial,” katanya lagi.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Negara Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beberapa aspek termasuk perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemas terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid pada hujung Ogos berjalan lancar.

Parlimen juga perlu mengadakan satu sidang khas pada awal Ogos untuk meluluskan beberapa pindaan undang-undang dan peraturan yang akan membolehkan persidangan secara hibrid dibuat.

Rais dan Azhar mempengerusikan bersama Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid, yang diangotai Timbalan-timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia Parlimen Malaysia. – 26 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen