JERMAN pada Jumaat meletakkan Portugal dan Rusia sebagai “negara varian koronavirus”, seterusnya menyekat kemasukan pelawat dari kedua-dua negara itu.
Bermula Selasa, hanya warganegara dan penduduk Jerman akan dibenarkan masuk dari negara itu, dan syarikat kapal terbang, keretapi dan bas dilarang membawa kategori penumpang lain.
Mereka yang dibenarkan masuk dari Rusia dan Portugal perlu menjalani kuarantin dua minggu, walaupun ujian Covid-19 mereka negatif.
Kedua-dua negara itu melaporkan lonjakan jangkitan Covid-19 disebabkan varian Delta.
Empat belas buah negara sudah diletakkan dalam jadual negara berisiko tinggi “varian virus” Jerman.
Ia termasuklah Britain, India, Afrika Selatan dan Brazil yang kini berdepan penularan varian Delta Covid-19 yang mudah berjangkit itu.
Pihak berkuasa kesihatan Jerman sudah berulang kali mengeluarkan amaran tentang varian Delta yang pertama kali dikesan di India dan kini menular di Britain.
Robert Wieler, ketua agensi kawalan penyakit RKI, berkata varian Delta dijangka menjadi jenis varian utama di Jerman menjelang musim luruh.
Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Khamis menggesa pemimpin EU yang lain mengambil langkah pencegahan tegas terhadap pelawat dari Britain bagi menghalang varian itu menular ke seluruh blok ekonomi itu. – AFP, 26 Jun, 2021.
Komen