SEBANYAK 122,328 panggilan dilakukan ke atas talian sokongan psikososial Kementerian Kesihatan antara 1 Januari dan 18 Jun untuk sokongan dan kaunseling emosi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham berkata, 109,806 atau 89.4% dikaitkan dengan masalah psikologi akibat masalah sosial seperti kehilangan punca pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga, perpisahan dan penceraian serta penderaan emosi dan fizikal.
Katanya, wabak itu bukan sahaja mempengaruhi kesejahteraan emosi dan mental petugas barisan hadapan terutama pekerja kesihatan serta penjawat awam tetapi juga dirasai oleh golongan lain dalam kalangan masyarakat.
“Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan semenjak 25 Mac 2020 mendapati, kebanyakan pemanggil memerlukan sokongan emosi dan juga kaunseling,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Noor Hisham mencadangkan beberapa langkah yang dapat diambil bagi mengurangkan kesan psikologi wabak berkenaan.
Ini termasuk mengenal pasti punca kebimbangan, elakkan stigma bekas pesakit Covid-19, memastikan penjagaan diri yang baik, memastikan komunikasi berterusan dengan keluarga dan rakan, segera mendapatkan khidmat kaunseling dan sentiasa peka terhadap perubahan diri.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk melakukan inisiatif seperti menubuhkan talian bantuan dan memberi kaunseling.
“Impak psikologi perlu diberi perhatian dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini,” katanya.
Beliau berkata perasaan cemas, gemuruh serta sedih ketika menghadapi tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan ketika berdepan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun katanya, ini boleh menjadi masalah jika dialami dalam jangka waktu yang lama atau jika itu menganggu kehidupan seharian.
“Perlu diingatkan bahawa kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal serta pencegahan pada peringkat awal dapat membantu,” katanya.
FMT melaporkan hari ini bahawa talian hotline Befrienders KL menerima 6,858 panggilan antara Mac dan Mei 2020 daripada mereka yang berdepan tekanan dan memerlukan sokongan emosi.
Jumlah panggilan meningkat lebih 50% kepada 10,412 dalam tempoh sama tahun ini.
Laporan itu berkata bahawa lebih ramai pemanggil bercakap mengenai kehilangan pekerjaan, tekanan kewangan dan bahkan meragut nyawa mereka sendiri. – 25 Jun, 2021.
Komen