KEMENTERIAN kesihatan Israel pada Jumaat mengenakan semula arahan memakai pelitup muka di kawasan tertutup awam berikutan kenaikan kes Covid-19 sejak jatuh 10 hari lepas.
Lonjakan jangkitan baharu ini jadi tamparan hebat buat negara itu yang sebelum ini berbangga sebagai paling berjaya di dunia dalam program imunisasinya.
Ketua pasukan bertindak pandemik Israel, Nachman Ash, berkata kepada radio awam, perintah itu dibuat setelah empat hari negara itu melaporkan lebih dari 100 kes harian baharu, di mana 227 kes dilaporkan pada Khamis sahaja.
“Kami nampak akan berlipat kali ganda dalam beberapa hari,” kata Ash. “Perkara lain yang membimbangkan ialah jangkitan merebak. Jika kita ada dua bandar di mana kebanyakannya virus berada, kini kita ada lebih banyak bandar di mana jumlahnya meningkat.”
Ash berkata lonjakan kes itu mungkin disebabkan oleh varian Delta yang sangat berjangkit, pertama kali dilihat di India.
Menerapkan semula syarat pemakaian pelitup muka merupakan langkah ke belakang bagi Israel, dibuat dengan segera hanya beberapa hari selepas arahan itu ditarik pada 15 Jun.
Sebanyak 5.2 juta orang telah menerima kedua-dua dos vaksin Pfizer-BioNTech, setelah Israel memperoleh berjuta-juta dos.
Ash berkata walaupun terdapat peningkatan jumlah kes positif, dia belum melihat peningkatan yang sama di hospital atau kematian.
“Sudah jelas bahawa ini faktor masa, tidak cukup masa,” kata Ash. “Tetapi kami harap vaksin ini dapat lindungi kita dari peningkatan kes.”
Kementerian kesihatan negara itu menggesa rakyatnya memakai pelitup muka di tempat luar yang sesak, termasuk di acara LGBTQ yang dijadualkan pada hujung minggu ini.
Perarakan LGBTQ dijadualkan pada Jumaat petang di Tel Aviv, dijangka menarik puluhan ribu orang. Acara ini diadakan semula setelah ditangguhkan tahun lalu kerana Covid-19. – AFP, 25 Jun, 2021.
Komen