Vaksinasi perlahan, gelombang ketiga Covid-19 bakal serang Afrika


Pekerja kubur di Johannesburg, Afrika Selatan sedang bersedia untuk menjalankan pengebumian mangsa Covid-19 di sebuah gereja. Benua Afrika dijangka dilanda teruk gelombang ketiga Covid-19 dalam tiga minggu mendatang. – Gambar AFP, 25 Jun, 2021.

AFRIKA berhadapan serangan koronavirus ganas, dengan kemasukan ke hospital dan kematian yang belum pernah terjadi setakat ini mendorong kemudahan kesihatan bertungkus lumus ketika benua itu jauh ketinggalan dalam usaha vaksinasi global.

Hampir 5.3 juta kes dilaporkan dan sekitar 139,000 kematian di antara hampir 1.3 bilion penduduknya, Afrika masih merupakan benua paling terjejas di dunia selepas Oceania, menurut laporan AFP.

Setakat ini negara-negara Afrika terhindar dari bencana seperti yang berlaku di Brazil atau India itu.

Bagaimanapun pandemik muncul kembali dan membimbangkan di sekurang-kurangnya 12 negara, dengan kes-kes dijangka mencapai puncaknya dalam tiga minggu akan datang.

“Gelombang ketiga sangat cepat, menyebar lebih cepat, menyerang lebih ganas,” kata pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Afrika Matshidiso Moeti pada Khamis. “Kenaikan terbaharu ini bakal menjadi paling buruk di Afrika.”

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika) John Nkengasong pada Khamis menggambarkan gelombang ketiga sebagai “sangat ganas” dan “sangat dahsyat”.

Presiden Liberia George Weah telah memperingatkan gelombang itu “jauh lebih membimbangkan daripada tahun lepas” ketika hospital penuh di negaranya.

Gelombang ketiga Afrika berkaitan dengan masalah imunisasi, penyebaran varian virus yang lebih mudah ditularkan selain suhu musim sejuk di Hemisfera Selatan.

Varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, setakat ini telah dilaporkan di 14 negara Afrika, kata WHO.

Doktor di Afrika Selatan menghadapi masalah kemasukan pesakit yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Tidak seperti gelombang sebelum ini, kali ini “sistem hospital tidak dapat mengawal,” kata ketua persatuan doktor, Angelique Coetzee.

Rata-rata jangkitan harian baharu Afrika Selatan meningkat 15 kali ganda sejak awal April, dengan kemasukan ke hospital meningkat sekitar 60 peratus. – AFP, 25 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen