LEMBAH Klang menyumbang lebih separuh daripada 5,812 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam 24 jam terakhir ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan.
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes hari ini telah meningkatkan beban negara kepada 722,659.
Selangor terus menjadi negeri paling banyak kes harian dengan 2,187 kes, manakala Kuala Lumpur melaporkan 771 kes.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Johor (196), Sabah (156), Sarawak (673), Negeri Sembilan (658), Kelantan (98), Pulau Pinang (270), Perak (72), Kedah (186), Melaka (223), Pahang (139), Terengganu (46), Labuan (123) dan Putrajaya (14).
Perlis satu-satunya negeri yang tidak melaporkan sebarang jangkitan.
Dalam pada itu, setakat 11.59 malam semalam, sejumlah 268,604 vaksinasi telah diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Melalui hantaran di Facebook, JKJAV berkata, daripada 268,604 dos, 175,201 merupakan mereka yang menerima suntikan pertama manakala 93,403 lagi penerima dos kedua.
Sementara itu, sejumlah 6.82 juta dos vaksin telah diberikan di bawah PICK, tepat empat bulan sejak program tersebut bermula iaitu pada 24 Februari.
Sebanyak 4.92 juta dos atau 15.1% adalah penerima satu dos sementara 1.89 juta orang pula telah lengkap proses imunisasi mereka dengan dua suntikan. – 25 Jun, 2021.
Komen