Mahkamah beri Hamzah 14 hari buat keputusan pendaftaran Pejuang


Hakim berkata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin melanggar kewajipan statutorinya kerana tiada tindakan terhadap permohonan pendaftaran Pejuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh selama 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin membuat keputusan mengenai rayuan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik, lapor Free Malaysia Today.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata, Hamzah melanggar kewajipan statutorinya kerana tiada tindakan terhadap permohonan parti itu untuk didaftarkan.

“Mahkamah berpendapat menteri melanggar tugas berkanunnya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan dalam memutuskan rayuan Pejuang.

“Pada pandangan saya, tempoh lebih lima bulan untuk memutuskan rayuan ini, melebihi tempoh munasabah,” kata hakim itu.

Pejuang, yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad setelah meninggalkan Bersatu, membuat rayuan pada 8 Januari selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) menolak permohonan pendaftaran parti itu.

Pada 1 April, ia mendapat izin daripada Mahkamah Tinggi untuk mencabar penolakan permohonan pendaftarannya.

Setiausaha Agong Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata tindakan menteri itu adalah cubaan untuk menafikan parti terhadap hak perlembagaan untuk bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logo sendiri.

Hakim juga berkata alasan Hamzah yang beliau mempunyai lebih 102 rayuan daripada pelbagai organisasi untuk disemak tidak cukup kuat.

“Alasan beliau mempunyai jadual yang sibuk tidak cukup kuat kerana beliau mempunyai pegawai kementerian untuk membantunya dalam membuat keputusan.

“Saya mengulangi walaupun ada rayuan lain yang belum selesai, waktu yang diperlukan untuk memutuskan Pejuang tidak boleh terlalu lama kerana isu yang terlibat tidak rumit,” katanya.

Status Pejuang yang tidak berdaftar menghalang parti itu untuk mengambil ahli dan membuat persiapan untuk pilihan raya. – 25 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen