SEBANYAK 90% vaksin di Malaysia sudah digunakan, kata Khairy Jamaluddin susulan kritikan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikatakan bergerak perlahan.
“Bekalan vaksin akan tiba. Saya tidak simpan bekalan vaksin. Sebaik saja ia tiba, kita kaan hantar ke pusat vaksin dan negeri,” katanya yang juga menteri penyelaras program itu di Pelabuhan Klang hari ini.
“Kadar penggunaan vaksin kini 90% dan digunakan dalam tempoh beberapa hari,” katanya.
Khairy bercakap demikian ketika ditemui pada pelancaran pusat vaksin maritime pertama di Pelabuhan Klang hari ini.
Khairy dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong hadir pada majlis itu.
Beliau berkata banyak industri dan negeri meminta bekalan vaksin danBadan Bertindak Imunisasi Covid-19 akan menghantarnya sebaik saja ia tiba di negara ini.
“Semua sasaran imunisasi kita bergantung kepada bekalan vaksin,” katanya.
Susulan peningkatan jangkitan di tempat kerja, kerajaan memulakan program imunisasi bagi sektor ekonomi.
Sektor pertama ialah perkilangan, disusuli dengan pengangkutan.
Khairy berkata sektor pembinaan akan mula memberi vaksin kepada pekerjanya pada 1 Julai.
Tetapi pada masa belia memberi jaminan pemberian vaksin kepada sektor ekonomi tidak akan menjejaskan program utama imunisasi, iaitu berdasarkan kepada kumpulan umur.
Setakat hari ini, 4.7 juta individu menerima dos pertama vaksin menerusi 521 pusat vaksin. Kerajaan memberi vaksin kepada kira-kira 250,000 individu setiap hari, sepanjang tempoh tiga hari lalu. – 25 Jun, 2021.
Komen