Covid-19 boleh jangkiti sel otak, kata kajian


Bekas pesakit Covid-19 banyak melaporkan gangguan neurologi dan psikiatri seperti masalah ingatan, sakit kepala dan psikosis. – Gambar EPA, 25 Jun, 2021.

KORONAVIRUS boleh menjangkiti sel otak, menyebabkan reaksi yang mungkin memicu masalah neurologi dan psikologi, kata para penyelidik Belanda pada Khamis.

Walaupun penyebaran koronavirus berhenti cepat, menyebabkan kerosakan terhad selepas memasuki otak melalui hidung, ia mencetuskan sitokin, protein kecil yang bertindak sebagai utusan dalam sistem imuniti, kata kajian yang diterbitkan dalam jurnal mikrobiologi mSphere yang berpusat di AS.

“Ini boleh berperanan dalam jangkitan setempat ... yang mungkin menyumbang kepada aduan neurologi dan psikologi di kalangan banyak (bekas) pesakit,” kata kajian yang dilakukan oleh Pusat Perubatan Universiti Erasmus di Rotterdam.

“Apa yang kami lihat, hampir sama dengan fakta bahawa jangkitan SARS-CoV-2 jarang menyebabkan ensefalitis serius di mana virus menyebar secara tidak terkawal melalui otak,” kata Debby van Riel, ahli virologi di Universiti Erasmus.

“Tetapi fakta yang SARS-CoV-2 mungkin memasuki otak melalui saraf olfaktori dan menjangkiti sel secara setempat, yang membawa kepada tindak balas keradangan, akan menyebabkan gangguan neurologi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak pandemik koronavirus bermula, pesakit di seluruh dunia melaporkan gangguan neurologi dan psikiatri seperti masalah ingatan, sakit kepala, psikosis yang jarang berlaku dan dalam beberapa kes ensefalitis.

Satu daripada tiga individu yang dijangkiti Covid didiagnosis dengan gangguan ini dalam masa enam bulan selepas dijangkiti, kata satu kajian diterbitkan pada April dalam jurnal pakar The Lancet Psychiatry.

Data yang semakin meningkat menunjukkan virus boleh memasuki otak melalui saraf olfaktori, tambah kajian Erasmus.

Namun, apa yang berlaku ketika virus memasuki otak masih kurang difahami, katanya.

“Selain daripada penemuan kami, sistem imuniti tubuh mungkin juga berperanan,” kata Femke de Vrij dari jabatan psikiatri Erasmus.

“Lebih banyak penyelidikan diperlukan,” tambahnya.

“Kami sekarang sedang meneliti virus dalam sel dalam jangka waktu yang singkat. Kami juga  melihat sejumlah sel otak yang terhad,” kata De Vrij, sambil menambah yang penyelidikan lebih lanjut akan memberitahu lebih banyak mengenai kesan jangkitan virus pada struktur otak dalam jangka pendek dan panjang. – AFP, 25 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen