Tempoh kuarantin dilanjutkan untuk pengembara dari 4 negara Asia Selatan, kata KKM


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, tempoh lanjutan itu dibuat bagi mengurangkan penyebaran varian Covid-19 yang sangat membimbangkan secara tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2021.

PENGEMBARA dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan perlu menjalani kuarantin wajib selama 21 hari sejurus tiba di negara ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, ia dibuat bagi mengurangkan penyebaran varian Covid-19 yang sangat membimbangkan (VOC) secara tempatan.

Pengembara dari negara-negara ini menyertai mereka yang datang dari India untuk tempoh kuarantin yang dilanjutkan ini.

“Adalah diingatkan bahawa pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya yang melibatkan VOC dan varian yang mempunyai kepentingan (VOI/ Variant of Interest), di mana ia didapati lebih cepat merebak serta menyebabkan risiko kematian yang lebih tinggi. 

“Malahan ini juga merupakan amalan yang turut dijalankan oleh kebanyakan negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pertama kali mengumumkan lanjutan tempoh kuarantin bagi pelancong dari empat negara ini pada 24 Mei.

Pengumuman itu dibuat disebabkan oleh pelbagai VOC di negara-negara tersebut.

Noor Hisham mengingatkan lanjutan berkenaan hari ini.

Tambah Noor Hisham prosedur operasi standard (SOP) Pelanjutan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin) ke atas pengembara yang tiba di Malaysia berdasarkan ketetapan yang dibuat dari semasa ke semasa.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan tempoh kuarantin bagi pengembara dari India kepada 21 hari, manakala tempoh kuarantin 14 hari untuk semua negara lain dikekalkan.

Noor Hisham berkata semua pengembara perlu menjalani ujian RT-PCR secara wajib tiga hari sebelum berlepas, dan sekali apabila tiba di Malaysia.

Tambahnya, bagi mereka yang menjalani kuarantin 14 hari, ujian RT-PCR akan dibuat pada hari ke-10, sementara bagi mereka yang dikuarantin 21 hari, ujian akan dilakukan pada hari ke-18.

Noor Hisham juga berkata, berdasarkan penilaian risiko, mereka yang menjalani kuarantin 14 hari boleh dilanjutkan selama tujuh hari jika difikirkan perlu.

Selain itu, Noor Hisham berkata jawatankuasa Pemerhatian Dan Pengawasan Di Rumah (HSO) telah menerima sejumlah permohonan mengenai pengecualian atau pemendekan tempoh kuarantin.

Bagaimanapun, beliau berkata KKM perlu kekal serius dalam pelaksanaan polisi kuarantin ini bagi memastikan risiko jangkitan Covid-19 dari luar negara dapat dikurangkan.

“KKM memahami pelbagai situasi peribadi yang mereka hadapi, namun pada masa yang sama KKM perlu kekal serius dalam pelaksanaan polisi kuarantin ini bagi memastikan risiko jangkitan Covid-19 dari luar negara dapat diminimakan.

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa sebarang permohonan dan rayuan perlu melalui proses penilaian yang sangat ketat,” katanya. – 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen