TERENGGANU menunggu ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dibuat sebelum memutuskan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jelasnya, perbincangan dengan speaker Dun juga masih belum dibuat kerana ingin mendapatkan keketapan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
“Belum lagi sebab kita masih menunggu maklumat dari MKN dan KKM mengenai kaedah pelaksanaan sidang DUN dalam suasana begini.
“Bila kita sudah dapat kepastian baru kita bincang untuk cari tarikh sesuai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Berang, Terengganu hari ini.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri sangat berharap persidangan Dun akan dapat dilakukan secara bersemuka dan bukan secara dalam talian.
Oleh itu beliau memerlukan saranan dan panduan dari MKN dan KKM berhubung perkara itu.
Ditanya mengenai tarikh untuk mengadakan perbincangan bersama speaker, Samsuri berkata ia akan dilakukan dalam masa terdekat.
Ahmad Samsuri juga berkata beliau belum menentukan tarikh untuk mengadap Sultan Terengganu berhubung perkara itu.
Beliau ditanya demikian selepas beberapa negeri mengumumkan tarikh masing-masing untuk menjalankan persidangan selepas perintah darurat berakhir 1 Ogos.
Negeri berkenaan membuat ketetapan tersebut selepas Yang di Pertuan Agong pada 16 Jun menitahkan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.
Raja-Raja Melayu pula sebulat suara menitahkan agar perintah darurat yang berakhir pada 1 Ogos tidak dilanjutkan.
Ekoran itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini ditekan pembangkang dan juga dari kalangan pemimpin parti anggota kerajaan Perikatan Nasional agar Parlimen bersidang segera.
Tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan – Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan – sudahpun sedia mengadakan sidang Dun seawal Ogos ini, tertakluk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Johor pula memperkenan agar sidang Dun Johor diadakan pada 12 Ogos. – 24 Jun, 2021.
Komen