POLIS telah menahan tiga individu kerana disyaki menjual vaksin Covid-19 tanpa kebenaran kerajaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, ketiga-tiga mereka ditahan pada 23 Jun (Rabu) berikutan laporan yang dibuat pegawai penyelidik di Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
Polis juga merampas enam telefon bimbit dan beberapa dokumen ketika tangkapan dibuat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur penghantaran harta benda itu.
“Jabatan siasatan jenayah komersial KL menahan tiga individu, merampas enam telefon bimbit. Ketiga-tiga mereka direman selama tiga hari untuk membantu siasatan,” kata Azmi.
Bercakap lebih lanjut, Azmi berkata siasatan awal menunjukkan ketiga-tiga mereka telah menghubungi orang ramai secara rawak untuk menawarkan vaksin.
“Mereka menawarkan RM420 untuk dua dos dan pembayaran dibuat setelah orang itu menerima suntikan,” tambahnya.
Azmi menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut untuk menghubungi polis di talian 03-2155 9999 atau sekretariat CTIF di talian 03-88934303.
Kerajaan tidak mengizinkan pihak swasta memvaksinasi penduduk kerana tugas itu dilakukan oleh CITF di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Proses vaksinasi itu diuruskan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. – 24 Jun, 2021.
Komen