KES harian Covid-19 terus meningkat buat hari ketiga berturut-turut dengan 5,841 kes baharu direkodkan setakat tengah hari ini, kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata negara menyaksikan penurunan kes pada 21 Jun yang mana 4,611 kes dilaporkan dan merupakan angka terendah sejak pertengahan Mei. Bagaimanapun kes kembali meningkat selepas itu.
Selangor sekali lagi mencatatkan kes tertinggi dengan 2,072 kes diikuti dengan Negeri Sembilan 781 kes dan Sarawak 581 kes.
Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak berada di kedudukan tiga teratas buat hari kedua berturut-turut.
Kuala Lumpur mencatatkan 552 kes hari ini menjadikan jumlah kes di Lembah Klang hari ini 2,624.
Kesemua negeri seluruh negara merekodkan kes bahari dalam tempoh 24 jam lalu.
Jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini 716,847 yang mana Selangor mendahului dengan 235,120, berbeza dengan Kuala Lumpur yang merekodkan 73,196 kes dan Johor 69,174.
Selain itu, Kementerian Kesihatan turut melaporkan sebanyak 252,730 suntikan vaksin diberikan semalam, melepasi sasaran 200,000.
Ini menjadikan jumlah kumulatif suntikan vaksin kepada 6.56 juta yang mana 4.76 juta adalah dos pertama manakala 1.8 juta orang menerima dos kedua.– 24 Jun, 2021.

Komen