MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sedia menyerahkan kerusi Parlimen Gombak kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Timbalan presiden PKR itu berkata, Dr Mahathir boleh bertanding di kerusi itu sekiranya dipersetujui oleh parti.
“Saya sedia memberi laluan kepada Dr Mahathir di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR,” katanya menerusi Twitternya malam ini.
Dr Mahathir dan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan pilihan Pakatan Harapan untuk calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi PRU14.
Saya bersedia memberi laluan kepada Tun @chedetofficial di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh KEADILAN. Mari membingkai muafakat demi rakyat.
— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) January 13, 2018
Bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pakatan Harapan itu bagaimanapun berkata, beliau lebih cenderung untuk bertanding sama ada di Kubang Pasu, Langkawi atau di Putrajaya.
PKR Selangor bagaimanapun menolak Dr Mahathir dinamakan sebagai calon PM, dan mendakwa ia bertentangan dengan gerakan Reformasi.
Azmin kini menyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak.
Kerusi negerinya turut menjadi sasaran ketua bahagian Umno Sungai Besar Jamal Yunos yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mencabar menteri besar Selangor itu di mana-mana kerusi di Selangor, sekiranya dipilih oleh Umno untuk bertanding pada PRU14.
Jamal juga berkata, beliau akan menjalankan tugas lebih baik sebagai menteri besar berbanding Azmin. – 13 Januari, 2018.
Komen