83 kes kematian Covid-19 hari ini


Sebanyak 83 kematian akibat Covid-19 hari ini di mana tujuh daripadanya melibatkan kes meninggal dunia di luar hospital (BID). – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 83 kematian akibat Covid-19 hari ini di mana tujuh daripadanya melibatkan kes meninggal dunia di luar hospital (BID), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kematian terbaru menjadikan angka kematian keseluruhan menjadi 4,637 orang.

Enam daripada tujuh kes BID mempunyai sejarah penyakit sementara seorang lagi mangsa merupakan lelaki berusia 47 tahun di Kelantan.

Mangsa termuda yang meninggal dunia akibat koronavirus hari ini adalah seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengalami tekanan darah dan mempunyai penyakit dyslipidemia sementara mangsa tertua seorang wanita berusia 93 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor.

Sementara itu, kes di unit rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 879 berbanding 875 semalam. Seramai 433 pesakit pula memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Selangor melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 35 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan sembilan kes dan Johor lapan kes.

Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing melaporkan tujuh kes, Kelantan melaporkan enam kes manakala Sarawak dan Labuan melaporkan tiga kes.

Perak melaporkan dua kes manakala Kedah, Melaka dan Perlis masing-masing mencatatkan satu kematian.

Kes pulih terus mengatasi kes baharu hari ini selepas 6,372 pesakit pulih dari Covid-19.

Dengan ini jumlah keseluruhan kes pulih kini berjumlah 645,553.

Terdapat 5,244 kes baharu yang dilaporkan hari ini di mana tujuh di antaranya adalah kes import. Kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 711,006 dilaporkan.

Kes aktif pula sebanyak 60,816. – 23 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen