AHLI akademik bimbang dengan sikap masyarakat bukan Islam di Malaysia yang terlalu berhati-hati untuk mengelakkan dari menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia Dr Azmil Tayeb berkata ia menunjukkan trend tidak sihat apabila ada pengusaha kedai yang mengelak dari memaparkan imej anjing dalam hiasan Tahun Baru Cina.
“Sudah tertanam dalam diri masyarakat bukan Islam untuk menghormati sensitiviti masyarakat Islam, tetapi apa yang menjadi sensitif adalah biasanya subjektif.
“Ia sudah pasti sesuatu yang tidak sihat. Ia adalah tidak masuk akal. Ini berpunca daripada intimidasi sejak beberapa tahun lalu (oleh beberapa pihak berkuasa). Itu sudah melampau.
“Oleh kerana masyarakat bukan Islam sering kali diberitahu agar tidak menyinggung, mereka merasakan cara terbaik adalah dengan mengamalkan cara selamat,” kata pakar politik Islam di Asia Tenggara itu.
Sementara itu, presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia Dr Taufiq Yap Yun Hin secara peribadinya berkata, beliau tidak tersinggung dengan gambar anjing tetapi beliau faham ada segelintir masyarakat Islam yang tidak merasakan perkara yang sama.
Waspada dengan tindak balas awam, perniagaan di Malaysia sering mengambil langkah berhati-hati untuk tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Awal bulan ini, Hipermarket Giant mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen apabila menjual kemeja-t 12 haiwan zodiak, namun imej anjing dan babi digantikan dengan ejaan nama haiwan berkenaan.
Pada Oktober 2016, rangkaian perniagaan pretzel Auntie Anne’s diminta menamakan semula produk “Pretzel Dog kepada “Pretzel Sausage” oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pada tahun yang sama, satu watak separuh manusia separuh babi dalam sebuah filem Tahun Baru Cina, Monkey King 2 dibuang daripada poster asal. Pengedar filem berkenaan Golden Screen Cinemas, berkata perubahan poster itu adalah inisiatif pihak syarikat berkenaan.
Satu pelancaran buku dianjurkan bersama oleh pengedar buku bebas Gerakbudaya dan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sempena pelancaran buku itu, turut diadakan perbincangan panel.

Azmil, Taufiq dan Dr Maszlee Malek dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan antara panel membincangkan buku mengenai budaya Cina Muslim di Indonesia yang ditulis oleh felo penyelidik Ikmas Dr Hew Wai Weng.
Profesor Madya Dr Helen Ting dari Ikmas menjadi moderator perbincangan itu.
Maszlee berkata dominan budaya Melayu Islam di Malaysia menyebabkan kebanyakan Cina Muslim mualaf merasakan mereka perlu tegaskan identiti Cina mereka.
“Kebanyakan mereka merasakan ketuanan Melayu mengganggu..Ketika mereka memeluk Islam, mereka merasakan mereka perlu tunjuk yang mereka masih lagi Cina. Saya pasti Taufiqq tidak pernah memakai baju tradisional Cina sebelum bergelar Muslim,” katanya.
Tambahnya, hasil pemerhatiannya Cina mualaf di sini mencari pelbagai cara untuk mengekalkan budaya etnik mereka, termasuk mempelajari bahasa Mandarin.
Katanya, rakyat Malaysia perlu menghormati dan menghargai, dan bukan sekadar bertoleransi, kepelbagaian budaya dan agama di negara ini dan di seluruh dunia.
Sebagai contoh katanya, masyarakat Cina Muslim di utara Thailand melihat diri mereka berbeza daripada masyarakat Islam di Bangkok, selatan Thailand dan tanah besar China.
“Perkataan toleransi sangat kotor. Ia bermaksud kamu tidak menyukai sesuatu atau seseorang tetapi terpaksa bertoleransi mengenainya. Dalam hati kamu, masih terdapat rasa tidak puas hati. Itu bukan cara untuk terus ke depan.
“Kita tidak sepatutnya mengabaikan asas nilai kemanusiaan, iaitu saling menghormati. Sekiranya kamu tidak menghormati orang lain, orang lain tidak akan menghormati kamu,” katanya. – 13 Januari, 2018.
Komen