NAJIB Razak hari ini bertanya sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang akan tamat 28 Jun ini bakal disambung lagi, memetik PKP kali pertama tahun lalu hanya selama 45 hari.
“Kini 45 hari sudah berlalu sejak PKP 3.0 seluruh negara diumum pada 10 Mei, 2021 namun 21 lagi kluster baharu masih dikesan semalam,” katanya di Facebook hari ini.
Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 13 daripada 21 kluster Covid-19 adalah berkaitan tempat kerja.
Walaupun jumlah kluster yang tinggi, Malaysia melaporkan 4,743 jangkitan baharu, yang menurun daripada segi angka kes harian.
Najib juga mempersoalkan adakah bantuan kerajaan sampai kepada rakyat sejak PKP 3.0.
“Apa bantuan yang sudah sampai ke tangan Rakyat sejak PKP 3.0 bermula?
“Moratorium pukal secara automatik? Diskaun elektrik? BPR tambahan yang mencukupi? i-Sinar/i-Lestari 2.0?
“Atau pun peniaga dan rakyat yang sudah kurung 45 hari tidak perlu dibantu?
Najib berkata prinsipnya mudah.
“Sekiranya hendak buat sesuatu untuk mengatasi krisis, kita buat betul-betul. Bukan separuh masak.
“Supaya matlamat dicapai secepat mungin dan krisis tidak diheret berpanjangan. Perlu ada hasil.”
Najib berkata jika perlu korban untuk kebaikan bersama, semua kena korban bersama untuk seketika.
“Bukan ada yang lepas tapi majoriti yang terkorban,” katanya tanpa merujuk kepada sesiapa.
Najib berkata bantuan patut diberi awal pada kadar yang wajar dan realistik bagi meringankan beban golongan yang paling terjejas supaya mereka mampu menghadapi tempoh pengorbanan.
“(Kerajaan) perlu peka dan peduli dengan kesusahan Rakyat. Susah faham ke ni?
“Sudah berpuluh kali saya pesan sejak Januari lagi.”
Putrajaya melanjutkan PKP 3.0 dari 15 Jun hingga 28 Jun susulan kes Covid-19 masih tinggi mengatasi angka 5,000 kes di seluruh negara walaupun PKP penuh dikuatkuasakan sejak awal Jun. – 23 Jun, 2021.
Komen