KENYATAAN Khairy Jamaluddin kononnya Kesatuan Eropah (EU) membolot vaksin Covid-19 sehingga Malaysia kekurangan bekalan adalah tohmahan yang tidak berasas, kata dutanya ke Malaysia Michalis Rokas.
EU malah berusaha memenuhi permintaan Malaysia secepat mungkin, katanya.
“Untuk makluman anda, segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke negara ini sudahpun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU,” katanya, seperti dipetik Kosmo Online.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Sokongan Respons Covid-19 Asean-EU kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Kuala Lumpur, semalam.
Majlis yang berlangsung dalam talian itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan disertai wakil WHO bagi Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru Jacqueline.
Sementara itu, Bernama memetik Rokas berkata EU meluluskan kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi membantu Malaysia mempercepatkan program imunisasinya.
Sehingga 15 Jun, sebanyak 4.87 juta dos Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos AstraZeneca dihantar ke Malaysia dan ia diperolehi menerusi skim Covax, tambahnya.
“Kesemua eksport yang diminta oleh Malaysia telah diluluskan segera, iaitu dalam tempoh dua ke tiga hari dan telah diberikan kelonggaran atas sebab kecemasan pandemik,” katanya.
Pada Isnin, Khairy berkata tidak adil untuk membandingkan kadar vaksinasi di Malaysia dengan negara anggota EU sebaliknya bertanya kenapa perbandingan sama tidak dibuat dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara dan Asia yang lain. – 23 Jun, 2021.
Komen