Henti sasar pekerja asing, buru majikan dan ejen, kata aktivis


Elill Easwaran

Aktivis hak asasi manusia mahu pihak berkuasa berhenti melakukan serbuan terhadap pekerja asing tetapi mensasarkan majikan atau ejen mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2021.

PIHAK berkuasa perlu berhenti menyasarkan migran dan mengejar majikan serta ejen mereka, kata aktivis hak asasi manusia apabila pihak berkuasa meningkatkan operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati).

Mereka berkata serbuan di tengah malam perlu dihentikan kerana dokumen kerja dan perjalanan warga asing yang disaring disimpan majikan atau ejen mereka.

Disebabkan itu kata mereka, kebanyakan pekerja asing tidak mempunyai dokumen dan ditahan oleh pihak berkuasa semasa serbuan.

“Ini sangat tidak adil terhadap pekerja migran,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das.

“Serbuan harus dilakukan ketika majikan mereka ada. Maka masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah.

Das mengulas berkenaan serbuan yang diadakan baru-baru ini di sebuah tapak pembinaan di Dengkil, Selangor apabila Jabatan Imigresen menahan 309 Pati – 280 lelaki dan 29 wanita berusia 20-an hingga 50-an dari pelbagai warganegara – Indonesia (193), Bangladesh (102), Vietnam (4), India (2) dan Myanmar (8).

Das berkata serbuan itu tidak berperikemanusiaan kerana polisi Jabatan Imigresen menyatakan hanya majikan atau ejen yang boleh mendapatkan permit untuk pendatang asing.

“Tidak ada peluang bagi pekerja asing yang ditangkap bagi mendapatkan keadilan terutama jika terdapat kes penipuan oleh ejen, majikan dan orang tengah lain,” katanya.

Awal bulan ini, seramai 156 pekerja asing di sebuah asrama di Cyberjaya ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen semasa pemeriksaan terhadap pati.

Aktivis hak asasi manusia juga berkata biasanya tidak ada berita mengenai nasib tahanan selepas mereka ditangkap.

Mereka berkata tidak diketahui adakah majikan akan berdepan masalah untuk mengemukakan dokumen pekerja bagi membebaskan pekerja asing berkenaan.

Sekiranya tidak ada yang datang untuk membantu pekerja asing berkenaan, kedutaan masing-masing akan diberitahu sebelum mereka dihantar pulang.

Kumpulan masyarakat sivil meminta bantuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam.

Adrian Pereira dari North South Initiative juga berkata bahawa Jabatan Imigresen seharusnya mencari ejen serta majikan dan bukannya memperlakukan pekerja asing dengan tidak berperikemanusiaan.

“Mengejar pekerja asing tidak mengubah apa-apa kerana masih ramai daripada mereka yang diperdagangkan ke negara ini,” kata Pereira.

Putrajaya menerima kritikan oleh aktivis hak asasi manusia dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana melakukan serbuan terhadap pendatang asing tanpa izin.

Ia susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin bahawa Pati akan disasarkan dalam tempoh 14 hari dari 1 Jun sehingga 14 Jun yang kini dilanjutkan sehingga 28 Jun.

Aktivis hak asasi manusia dan ahli Parlimen pembangkang berpendapat bahawa operasi ini akan menggagalkan rancangan imuniti kelompok Covid-19 negara di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Hamzah bagaimanapun berkata tidak ada program pengampunan untuk Pati dan serbuan terhadap pekerja asing tanpa izin akan berlanjutan. – 23 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen