Malaysia-EU kerjasama tingkat sistem kesihatan, kata Adham


Malaysia akan bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) memfokuskan kepada pengurusan dan respons terhadap Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

MALAYSIA akan bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mempertingkatkan lagi ketersediaan terhadap kecemasan secara keseluruhan dan kapasiti sistem kesihatan, kata Menteri Kesihatan Adham Baba.

Bercakap pada pelancaran EU-ASEAN Programme to Support Covid-19 Response di Malaysia yang diadakan secara maya hari ini Dr Adham berkata, R&D akan memfokuskan kepada pengurusan dan respons terhadap Covid-19.

“Kita semua berhadapan musuh yang sama dan solidariti dan kerjasama rantau yang bagus, kita akan menang peperangan ini,” katanya.

Turut hadir ke pelancaran secara maya itu wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo, Duta EU ke Malaysia Michalis Rokas dan Pegawai Pengurusan Program dan Teknikal pejabat WHO di Malaysia Dr Paul Soo.

Berkongsi mengenai cabaran dihadapi Malaysia dalam menguruskan pandemik itu Dr Adham berkata, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (MOH) bekerja keras untuk melaksanakan pelan strategik lima perkara.

Beliau berkata perkara itu adalah, memutuskan rantaian penularan pandemik, mengurangkan morbiditi dan kematian, memperkasakan diagnosis dan pemantauan dan meningkat pembudayaan normal baharu.

“Akhirnya pandemik ini telah menunjukkan kepentingan pemerkasaan rakyat, bagi berkongsi tanggungjawab dalam menangani pandemik ini,” katanya.

Sementara itu dalam menjawab mengenai jumlah keseluruhan eksport vaksin Covid-19 ke Malaysia, Rokas berkata, EU telah meluluskan kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi membantu Malaysia mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut beliau, jumlah sehingga 15 Jun menunjukkan sejumlah 4.87 juta dos Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia dan ia diperolehi menerusi skim Covax.

“Kesemua eksport yang diminta oleh Malaysia telah diluluskan segera, iaitu dalam tempoh dua ke tiga hari dan telah diberikan kelonggaran atas sebab kecemasan pandemik,” katanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia telah menerima 4.08 juta dos vaksin daripada Pfizer-BioNTech dan 828,000 dos vaksin dari AstraZeneca sehingga semalam. – Bernama, 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen