Kes di ICU turun, kes pulih melebihi kes baharu 


Jumlah jangkitan harian yang lebih rendah dalam beberapa hari terakhir ini timbul ketika kebimbangan mengenai ujian saringan yang tidak cukup selain kadar positif kekal tinggi sekitar 7%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

JUMLAH pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) berkurangan kepada 875 hari ini berbanding 880 orang semalam ketika mereka yang sembuh setakat tengah hari semalam mengatasi jumlah pesakit baharu, kata ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata, seramai 445 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan setakat tengah hari tadi.

Sementara itu, 5,557 orang telah pulih dari Covid-19 dalam 24 jam terakhir ini, menjadikan jumlah yang telah sembuh 639,181.

Terdapat 4,743 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan beban kes negara kepada 705,762. Hanya dua kes import dilaporkan, selebihnya jangkitan tempatan.

Bagaimanapun, jumlah jangkitan harian yang rendah dalam beberapa hari terakhir muncul ketika kebimbangan mengenai ujian saringan yang tidak mencukupi selain kadar positif kekal tinggi sekitar tujuh peratus.

Sementara itu, kes aktif terus menunjukkan trend menurun iaitu pada 62,027 berbanding 62,918 semalam.

Kematian akibat Covid-19 pula adalah sebanyak 77. Kematian terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,554 orang.

Sebelas kematian hari ini adalah yang maut sebelum tiba di hospital.

Mangsa paling tua yang maut akibat Covid-19 adalah wanita berusia 91 tahun yang meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Mangsa mempunyai sejarah diabetes, tekanan darah dan serangan jantung.

Mangsa maut paling muda dilaporkan hari ini adalah seorang wanita berusia 25 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor. Tidak ada maklumat mengenai status kesihatannya.

Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 32 kes diikuti Negeri Sembilan dengan 12 kes.

Negeri lain yang melaporkan kematian adalah Johor (8 kes), Sarawak (7 kes), Kuala Lumpur (5 kes) dan Melaka (4 kes).

Sabah dan Labuan masing-masing melaporkan tiga kes manakala Pahang, Perlis dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kes. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen