Perolehan ambulans tekanan negatif disalah tafsir, kata KKM


Kementerian Kesihatan mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan tender untuk membeli 490 ambulans, tetapi Menteri Kesihatan Dr Adham Baba tidak pernah berkata kesemuanya adalah ambulans jenis tekanan negatif. – Gambar Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, 22 Jun, 2021.

TIDAK semua ambulans yang akan dibeli Kementerian Kesihatan adalah jenis tekanan negatif seperti dilaporkan, kata kementerian itu.

Ia mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan tender untuk membeli 490 ambulans, tetapi Menteri Kesihatan Adham Baba tidak pernah berkata kesemuanya adalah ambulans jenis tekanan negatif.

“Laporan berita itu telah disalah tafsir. Sebenarnya Menteri Kesihatan menyatakan dalam sidang media ‘Kita akan mulakan tender 500 ambulans ini dan bagi ambulans lain kita akan gunakan sistem pemajakan mengikut zon agar isu logistik pesakit Covid-19 di mana-mana jua dapat diatasi’.

“Pada 17 Jun 2021, KKM telah mengiklankan tawaran tender untuk perolehan 490 jenis ambulans bersama kelengkapan peralatan perubatan bagi kegunaan hospital dan klinik di seluruh negara,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Dalam kenyataan tersebut tidak disebut kesemua 500 ambulans itu bercirikan Ambulans Tekanan Negatif sebagaimana yang disalahfahami dan dilapor oleh pihak tertentu.”

Bagaimanapun, kenyataan kementerian itu tidak menyebut berapa banyak unit ambulans adalah jenis tekanan negatif.

Pada 19 Jun Adham Baba dilaporkan berkata demikian ketika majlis penyerahan ambuland bertekanan negatif bagi membawa pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps di Serdang, Selangor. 

Selain mempunyai sistem tekanan negatif, ambulans juga dilengkapi dengan penapisan HEPA dan lampu ultraviolet (UV)  khusus untuk kes penyakit berjangkit terutamanya jenis penyakit bawaan udara.

Berita mengenai pengumuman Adham Baba itu mendapat kritikan atas perbelanjaan tidak patut oleh kerajaan ketika ramai menggesa agar ujian Covid-19 diperluas dan dipercepatkan kerana keraguan laporan jangkitan virus itu tidak memberi gambaran sebenar pandemik di Malaysia. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen