Penduduk perlu tanggung kos tinggi untuk ke pusat vaksin di Sarawak


Desmond Davidson

PPV di Kapit, Sarawak mengambalkan dasar “vaksin dulu, daftar kemudian” asalkan penduduk memiliki kad pengenalan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

BEBERAPA penduduk kampung di Sarawak terpaksa mengeluarkan antara RM60 sehingga RM100 hanya untuk pergi ke pusat pemberian vaksin bagi mendapatkan vaksinasi mereka, kata Timbalan Ketua Menteri James Masing.

Ini adalah jumlah yang harus dibayar oleh 256 orang dari 11 rumah panjang di daerah terpencil di Baleh bagi menaiki bot ke PPV SK Nanga Oyan.

Beliau berkata jarak antara rumah panjang ke PPV adalah sejauh 5 kilometer (km) melalui jalan darat tetapi melalui sungai mungkin lebih jauh.

Kosnya berbeza-beza bergantung pada ukuran tangki bahan bakar enjin luar dan jarak dari rumah panjang ke SK Nanga Oyan.

Masing, yang hadir meluangkan masa melawat PPV di bahagian Kapit berkata mereka yang membawa kenderaan 4X4 untuk ke pusat vaksin juga terpaksa menanggung kos.

Jalan sepanjang 5km di laluan pembalakan berdebu dan jalan beralun kadangkala memakan masa selama sejam.

Masing juga berkata penduduk Kapit yang bekerja atau tinggal di bandar seperti Sibu, Bintulu bahkan Kuching juga tidak ragu-ragu untuk memandu beratus-ratus kilometer hanya untuk pulang ke rumah bagi mendapatkan vaksin.

“Sebilangan besar mereka yang diberi vaksin di PPV bandar Kapit bukan hanya penduduk yang tinggal di Kapit dan rumah panjang berdekatan.

“Penduduk yang tinggal di Sibu, Bintulu dan Kuching yang merasa sukar mendapat giliran vaksin melalui MySejahtera (telah mendaftar untuk diberi vaksin di Kapit,” karanya.

Jarak antara jalan darat dari Kuching ke Kapit adalah sekitar 295km. 

PPV di Kapit, bandar terbesar di hulu Sungai Rajang yang terpanjang di negara ini mengambalkan dasar “vaksin dulu, daftar kemudian”.

Masing berkata PPV di kawasan itu akan memberikan vaksin kepada sesiapa sahaja “asalkan mereka memiliki kad pengenalan Malaysia”.

Semalam tambahnya, 16 pasukan yang dikerahkan oleh Jabatan Kesihatan ke Kapit berjaya memberikan vaksin kepada 4,128 orang.

Tambahnya, beliau diberitahu bahawa jika vaksin mencukupi, jabatan itu dapat memberi vaksin sehingga 6,000 orang setiap hari.

“Sekiranya (kita mendpaat) 21,000 dos per minggu seperti yang dijanjikan oleh Kuala Lumpur, Kapit dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada akhir Julai,” kata Masing. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen