Azmin layak jadi PM tapi tak disokong, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Muzliza Mustafa

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media selepas memghadiri forum Bicara Wawasan 2020 di Cyberjaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Januari, 2018.

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata, timbalan presiden PKR Azmin Ali tidak dipilih sebagai calon perdana menteri kerana tidak mendapat sokongan kesemua parti dalam gabungan itu.

“Sudah tentu beliau berkelayakan tetapi beliau tidak dipilih… Untuk jawatan perdana menteri bukan sahaja kelayakan tetapi perlu dipilih.

“Saya sendiri tak pasti sama ada saya layak tetapi mereka pilih saya,” katanya yang menambah, beliau turut menerima sokongan daripada kesemua empat parti dalam gabungan PH.

Dr Mahathir sebelum itu diminta menjelaskan alasan beliau tidak mencalonkan nama Azmin kerana beliau sendiri tidak lagi berhasrat untuk menjadi perdana menteri sementara PH.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas forum Bicara Wawasan 2020 di Cyberjaya, hari ini.

Resolusi konvensyen PH pada minggu lalu memutuskan untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya blok pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PH juga merancang untuk mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun dan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Dalam forum tiga jam dihadiri kira-kira 100 peserta itu, Dr Mahathir turut berkongsi mengenai tindakan yang akan dijalankan PH sebaik mengambil alih Putrajaya.

Menyentuh mengenai Wawasan 2020 cetusannya itu, Dr Mahathir berkata ia tidak akan dapat dicapai kerana kerajaan pada hari ini mempunyai pandangan berbeza mengenai taraf negara maju.

Jelasnya, ia bukanlah dari segi peningkatan pendapatan tetapi peningkatan dalam beberapa sektor seperti kajian dan pembangunan.

Menurutnya jika PH menang, Wawasan 2020 itu hanya akan dilanjutkan kepada beberapa tahun sahaja lagi dan bukannya sehingga tahun 2050.

“Saya fikir ia dapat dicapai sebelum 2050. Namun untuk membolehkan saya melaksana cadangan anda dan membuat perubahan, terlebih dahulu saya mesti menjadi kerajaan dan satu-satunya cara adalah melalui pilihan raya,” katanya. – 13 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen