PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin akan diadakan hujung tahun ini selepas Belanjawan 2022 dibentangkan, kata Osman Sapian.
Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor itu dipetik Sinar Harian berkata, Muhyiddin membayangkan perkara itu semasa mesyuarat parti peringkat negeri yang berlangsung secara maya pada 16 Jun lalu.
“Kemungkinan besar PRU15 akan diadakan pada akhir tahun ini sama ada November atau Disember.
“Lagipun tiada yang mustahil kerana ada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini dilakukan selepas Belanjawan diumumkan,” katanya.
Tambahnya, PRU15 hanya dapat dilaksanakan apabila Belanjawan 2022 di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri selesai dibentang.
Belanjawan dibentang pada sidang Dewan Rakyat penggal ketiga setiap tahun. Bagaimanapun, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempoh darurat yang akan tamat 1 Ogos ini.
Tambahnya, PRU15 hanya dapat dilaksanakan apabila Belanjawan 2022 di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri selesai dibentang.
Selepas persidangan khas bersama Raja-Raja Melayu pada Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan nasihat supaya Parlimen bersidang secepat mungkin membahaskan Ordinan Darurat dan pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19.
Osman yang juga Adun Kempas memberitahu Sinar Harian PRU15 bagaimanapun akan diadakan hanya apabila kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan dan sasaran 80% popolasi negara sudah divaksin.
Dalam mesyuarat pada 16 Jun itu juga Muhyiddin mengarahkan Bersatu dan Perikatan Nasional membuat persediaan menyediakan bahan kempen pilihan raya untuk diedarkan ke bahagian-bahagian, tambahnya. – 22 Jun, 2021.
Komen