Lebih 235,000 dos vaksin diberi semalam, kata jawatankuasa vaksin Covid-19


JKJAV hari ini memaklumkan jumlah pemberian dos vaksin Covid-19 kini mencecah 6.05 juta dos setakat 11:59 malam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

SEBANYAK 235,623 dos vaksin Covid-19 diberi di seluruh negara semalam, angka harian tertinggi direkodkan setakat ini, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

JKJAV menerusi Facebook hari ini memaklumkan seramai 181,840 individu menerima dos pertama suntikan, manakala 53,783 orang lagi menerima dos kedua, sekali gus menjadikan jumlah pemberian dos vaksin kini mencecah 6.05 juta setakat 11:59 malam semalam.

Daripada jumlah itu, 1.66 juta individu atau 5.1% populasi rakyat negara ini sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, sementara 4.38 juta atau 13.4% juta baru menerima satu dos.

Kuala Lumpur merekodkan kadar tertinggi pemberian suntikan vaksin dengan 757, 438 individu atau 42.7% menerima dos pertama, manakala 145, 906 atau 8.2% lengkap dua dos vaksin.

Pandaftaran vaksin di Kuala Lumpur juga mencapai sasaran 100%.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam berkata kerajaan mensasarkan 10% daripada populasi negara divaksin sepenuhnya menjelang pertengahan Julai ini.

“Ketika ini, bagi setiap 100 dos diberikan, 30 dos adalah dos kedua. Bagi memastikan 10% daripada populasi atau 3.2 juta penduduk menerima imunisasi, kita perlu memberikan vaksin terhadap 10.7 juta dos.

“Kita menjangkakan kira-kira 8 juta dos vaksin akan diagihkan menjelang akhir bulan ini dan 10.7 juta dos pada pertengahan bulan depan,” katanya pada sidang media mingguan bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu juga berharap jumlah pemberian dos akan meningkat kepada 10.7 juta, seterusnya mencapai 10% pelalian penuh menjelang pertengahan Julai.

Unjuran itu katanya mengambil kira beberapa faktor termasuk bekalan vaksin dan kapasiti pusat pemberian vaksin. – 22 Jun, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen