PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam umum rancangan untuk mengedarkan lagi 55 juta dos vaksin Covid-19 ke negara-negara yang memerlukan.
Sumbangan tersebut akan melengkapkan sasaran untuk berkongsi 80 juta dos vaksin dengan negara-negara berpendapatan rendah, kata White House. Awal bulan ini, kerajaan Biden juga berjanji akan membeli 500 juta dos vaksin Covid-19 Pfizer untuk disumbangkan kepada dunia.
Sebanyak 75% (55 juta) dos vaksin Covid-19 yang tidak digunakan di AS diedarkan untuk program perkongsian vaksin global Covax Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, manakala baki 25% akan diagih kepada penerima yang tersenarai sebagai keutamaan AS.
Menerusi program Covax, sebanyak 14 juta dos dihantar ke Amerika Latin dan Caribbean, 16 juta ke Asia dan 10 juta ke Afrika.
Kes jangkitan Covid-19 masih tinggi di kebanyakan negara termasuk Amerika Selatan dan Afrika, berbanding negara-negara kaya yang kini mula melonggarkan sekatan pergerakan selepas mencapai sasaran program imunisasi. – AFP, 21 Jun, 2021.
Komen