PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mengancam akan menyumbat ke penjara rakyatnya yang enggan disuntik vaksin Covid-19 ketika pandemik itu sudah menjangkiti lebih 1.3 juta orang di negara itu dan menyebabkan lebih 23,000 kematian, lapor Reuters.
“Pilihan anda, vaksin atau saya akan penjarakan,” katanya dalam perutusan melalui televisyen malam tadi.
Filipina adalah antara negara Asia paling teruk dilanda pandemik.
Kenyataan Duterte bagaimanapun dilaporkan bertentangan dengan pegawai kesihatan republik itu yang sebelum ini berkata suntikan vaksin bukan paksaan tetapi sukarela.
“Jangan salah anggap, negara ini sekarang berdepan krisis. Saya marah sebab rakyat tidak pedulikan arahan kerajaan,” kata Duterte.
Setakat 20 Jun, Filipina sudah menyuntik vaksin kepada 2.1 juta penduduk, jauh daripada sasaran melindungi 70 juta daripada 110 juta penduduknya sebelum akhir tahun ini.
Untuk menggalakkan vaksinasi, pihak berkuasa Filipina di sesetengah daerah menawarkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang sudah disuntik vaksin, malah ada juga yang menganjurkan cabutan bertuah dengan hadiah seekor lembu, lapor Al-Jazeera baru-baru ini.
Sementara itu, dalam ucapannya, Duterte juga mempertahankan keputusan tidak akan membuka semula sekolah.
Beliau yang dikritik kerana cara keras membendung pandemik turut menyelar Mahkamah Jenayah Antarabangsa selepas pendakwanya memohon izin mahkamah untuk siasatan penuh ke atas perang melawan dadah di Filipina.
Aktivis hak asasi manusia berkata pihak berkuasa Filipina membunuh sesuka hati suspek pengedar dadah. Duterte bagaimanapun menegaskan mereka yang ditembak mati terbunuh selepas bertindak ganas terhadap pihak berkuasa ketika mengelak ditangkap.
Duterte pada Mac 2018 membatalkan keahlian Filipina dalam ICC dan berulang kali berkata tidak akan memberi kerjasama dalam siasatan berkenaan.
Kempen antidadah Duterte sejak dipilih sebagai presiden pada 2016 sudah menyebabkan ribuan rakyatnya terbunuh. – Agensi
Komen