KL, Putrajaya capai 100% pendaftaran vaksinasi


Hari ini JKJAV melaporkan jumlah pendaftaran vaksinasi 100 peratus di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selangor pula dilaporkan sebanyak 3,745,931 orang atau 78.90% peratus telah mendaftar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Jun, 2021.

KUALA Lumpur dan Putrajaya menyaksikan jumlah pendaftaran 100% vaksinasi, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Seramai 1.38 juta orang atau 100% penduduk yang disasarkan di Kuala Lumpur telah mendaftar untuk vaksinasi sementara Putrajaya mencatatkan 76,536 pendaftaran.

Negeri dengan jumlah pendaftaran paling sedikit adalah Sabah dengan 804,851 pendaftaran atau 29.18% penduduk.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin menggesa Putrajaya membenarkan Sabah membeli vaksin sendiri dari Pharmaniaga Bhd agar dapat mempercepatkan lagi program vaksinasi di Sabah.

Bagi negeri lain, Sarawak mencatatkan 1,509,557 atau 73.90% pendaftaran, Labuan 53,938 (78.74%), Negeri Sembilan 603,702 (74.13%), Melaka 486,641 (71.84%), Pulau Pinang 979,770 (71.66%) dan Johor 1,924,907 (70.98%).

Manakala di Selangor seramai 3,745,931 (78.90%) pendaftaran dilaporkan, Terengganu 454,429 (56.21%) Perlis 119,867 (66.15%) Perak 1,099,539 (66.15%), Kedah 900,811 (58.47%), Pahang 684,762 (58.24%) dan Kelantan 596,000 (48.21%) penduduk telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

Sementara itu, Kuala Lumpur melaporkan jumlah vaksinasi tertinggi dengan 724,684 dos pertama diberikan manakala 142,094 untuk dos kedua setakat semalam.

Dalam pada itu, Sabah telah memberikan 323,350 dos pertama dan 133,026 dos kedua pada 20 Jun.

Di seluruh negara, sebanyak 5.81 juta dos telah diberikan di bawah program imunisasi Covid-19 kebangsaan setakat ini.

Semalam Malaysia melaporkan 5,293 kes positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 696,408.

Selangor terus mencatat jumlah kes baharu tertinggi dengan 1,680 kes manakala Kuala Lumpur 379 kes, sekaligus menjadikan 2,063 kes jangkitan Covid-19 direkodkan di Lembah Klang semalam. – 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen