MENJELANG umurnya 16 tahun petarung sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) Agilan Thani berasa hidupnya berdepan situasi paling buruk.
Mempunyai berat badan mencecah 139 kilogram, Agilan menjadi sasaran pembuli secara berterusan daripada kejiranan ganas di Sentul dan sekolah, di mana semua orang tahu dia budak lelaki gemuk yang ditinggalkan ibu.
Pada satu hari, Agilan menonton filem Cina bertajuk “SPL: Sha Po Lang”, yang dibintangi pelakon diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pengamal seni mempertahankan diri Donnie Yen.
“Dalam filem itu, terdapat adegan berlawan yang menarik perhatian saya. Ia membuatkan saya terpesona dengan seni mempertahankan diri.
“Saya mula menyelidik jenis seni mempertahankan diri yang Donnie Yen amalkan, dan terpaut dengannya.”
Agilan, kini berusia 22 tahun, tidak lagi pernah menoleh ke belakang.
Dia menyertai kelas jiu-jitsu Brazil di Petaling Jaya, dan berjaya mengurangkan 10kg dalam tempoh tiga bulan. Pencapaian ini mendorongnya terus mencuba dan menghilangkan lebih banyak berat badan.
Semasa berusia 18 tahun, dia mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci di gimnasium Monarchy MMA di Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur. Dia dibayar RM1,000 sebulan, dan semua kelas latihan gimnasium yang ingin diambil.
Agilan berkata pada masa itu, dia mula berminat dengan MMA, sukan tempur “full-contact” yang membolehkan teknik memukul dan bergelut serta menggunakan teknik daripada sukan tempur dan seni mempertahankan diri lain.
“Saya mula serius dan berlatih keras sukan Muay Thai, jiu-jitsu Brazil, tinju dan mengikut diet sihat. Dalam tempoh enam bulan, saya berjaya turun daripada 129kg kepada 93 kg.”
Tekad untuk menjadi yang terbaik dalam sukan itu mendorong Agilan, yang kini berjaya mengekalkan berat badan antara 77kg hingga 84kg, meninggalkan rumahnya dan “berpindah” ke gimnasium pada usia 18 tahun.
“Saya mahu berdikari dan menumpukan perhatian kepada latihan, jadi saya meninggalkan rumah.
“Selama setahun, saya tidur di atas tikar latihan di gimnasium. Saya dibayar RM1,000 dan selepas setahun saya mendapat tempat sendiri di Jalan Ipoh,” katanya mengenang kembali keputusan yang membawa kepada kedudukannya hari ini sebagai seorang daripada petarung terkenal MMA di negara ini.
Bertarung demi kejayaan
Selain menyertai pelbagai pertandingan dianjurkan One Championship – organisasi berpangkalan di Singapura yang giat mempromosikan MMA – Agilan juga pernah ke Amerika Syarikat, Thailand dan Vietnam bagi latihan MMA.
Dia mempunyai tujuh rekod kemenangan – tiga knockouts (TKO) dan empat “submission” (pihak lawan menyerah kalah).
Pada 26 Mei, Agilan akan berdepan cabaran sukan terbesar kerana akan bertarung di Stadium Tertutup Singapura bagi Kejohanan One FC Welterweight menentang juara bertahan Ben Askren, 32, dari Amerika Syarikat.
Agilan sedar Askren, yang pernah memenangi 15 pertarungan, adalah peserta pilihan untuk memenangi perlawanan itu, tetapi dia berkata sudah bersedia untuk dinobatkan sebagai juara One FC Welterweight Malaysia yang pertama.
“Saya fikir saya mempunyai apa yang diperlukan untuk mengalahkannya. Saya tidak memandang rendah kepadanya, tetapi saya mempunyai peluang untuk memenanginya.”
Pencapaian Agilan setakat ini menjadi pengetahuan umum melalui video promosi mengenai pertarungannya akan datang.
Bertajuk “Boy from Sentul” ia memaparkan gambar Agilan ketika kecil, montel, sesi latihan dan temu bual penuh emosi dengan ayahnya, yang sangat berbangga dengan pencapaian anaknya.
“Tidak pernah sekali dia meminta saya duit, tetapi dia akan sering bertanya: ‘Pa, ada tak duit untuk berbelanja?” ayahnya, Thani, berkata dalam video.
Kasih seorang bapa
Kasih sayang dan rasa hormat Agilan terhadap ayahnya sangat ketara.
“Sepanjang tempoh membesar, hanya dia yang saya ada. Semua yang saya tahu tentang bagaimana adab berbicara dengan orang ramai, bagaimana untuk menghormati orang lain, saya belajar daripada ayah,” katanya.
Agilan dibesarkan sendirian oleh ayah selepas ditinggalkan ibunya ketika berusia setahun. Dia dan bapanya, pengurus restoran, tinggal di flat lima tingkat di Bandar Baru Sentul.
Walaupun dia pasti keputusannya menjadi petarung seni mempertahankan diri profesional dan menjadikannya kerjaya awal dalam kehidupan, Agilan berkata, ayahnya tidak begitu yakin.
“Ayah saya teragak-agak pada mulanya dan berkata mempelajari MMA bukanlah satu kerjaya kerana dia ingin saya mengambil pengajian komputer. Tetapi selepas mula mendapat kemenangan, dia mula menyokong saya,” katanya.
Agilan berkata jika filem Donnie Yen yang mula-mula memberinya inspirasi menyertai seni mempertahankan diri tetapi kini kasih sayang dan sokongan ayahnya yang menjadi pendorong untuk dia menjadi yang terbaik.
“Dia sentiasa ada di samping dan menjaga saya.
“Sekarang, saya mahu membalas jasa ayah, dengan membanggakannya dan memenangi perlawanan.
“Saya juga mahu menunjukkan kepada dunia ‘Budak Sentul’ sudah tiba.” – 17 Mei, 2017.
Komen