PEMUDA Umno Terengganu mendesak parti itu segera menarik diri dari dari kerajaan sekiranya sidang Parlimen masih tidak diadakan secepat mungkin seperti titah Yang di-Pertuan Agong.
Ketuanya Tengku Haphiz Tengku Putera berkata Umno perlu membuat keputusan itu bagi mengelak terpalit dengan tudunan menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong.
(Ia bagi mengelak Umno) terpalit dengan politik derhaka raja seandainya pendirian kerajaan ini terus acuh tidak acuh merealisasikan titah raja dan tuntutan rakyat,” katanya.
Beliau dalam kenyataannya turut menyokong penuh pendirian Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Parlimen perlu bersidang dalam tempoh 14 hari.
Gesaan sama ditimbulkan sewaktu Umno bakal mesyuarat biro politiknya yang dilaporkan akan membincangkan mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Rancangan itu dilaporkan masih mendapat tentangan sebahagian besar ketua Umno negeri.
Mesyuarat itu dilaporkan akan dipengerusikan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat parti dan akan dihadiri 10 anggota jawatankuasa pengurusan dan 13 ketua Umno negeri.
Perkembangan itu berlaku sewaktu kerajaan masih berdolak-dalik mengenai titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang secepat mungkin.
Ia lanjutan kepada titah baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah pada Februari lalu yang turut menyeru perkara sama diadakan. – Bernama, 20 Jun, 2021.
Komen