Belum masa kuatkuasa pasport vaksin, kata Dr Noor Hisham


Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok seawal November dengan peningkatan usaha pemberian vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

RAMAI akan marah sekiranya pasport vaksin dikuatkuasa pada masa ini kerana liputan vaksin masih rendah, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjangka, langkah itu hanya dapat dilaksana apabila imuniti kelompok dicapai seawal November dengan peningkatan usaha memberi vaksin.

Katanya, tempoh dua sehingga tiga bulan diperlukan untuk meningkatkan keupayaan memberi vaksin itu, yang disebutnya sebagai tindakan sokongan selepas tindakan kawalan pergerakan.

“Jadi sekarang sokongan adalah vaksin. Jadi bagi masa dua, tiga bulan untuk tingkatkan vaksin. Kita jangkakan mungkin bulan (November) atau (Disember) kita akan capai imuniti kelompok.”

Jelasnya, apabila imuniti kelompok itu dicapai, kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan kegiatan sosial seperti ibadat di masjid untuk golongan yang sudah menerima vaksin.

“Kalau kita capai imuniti kelompok, mungkin kita akan laksanakan kalau nak pergi masjid, kena tunjuk kita sudah divaksinasi barulah boleh ke masjid, dan buat aktiviti dan sebagainya,” katanya.

Kelonggaran juga dapat dibuat agar tidak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan sekiranya ramai sudah menerima vaksin, katanya.

“Kita akan lihat kalau sudah ramai rakyat divaksinasi, kita akan guna vaksinasi sebagai satu kaedah merentas negeri, tak perlu patuh kepada SOP dan sebagainya.

“Tetapi sekarang masalahnya ramai lagi tidak divaksinasi dan tidak sampai 10% divaksinasi. Kalau kita bagi syarat terlalu awal orang akan marah sebab ramai lagi tak divaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam seminar dalam talian bertajuk “Islam dan Isu Semasa: Sosialisasi Agamawan Dalam Menangani Covid-19” di Facebook. 

Noor Hisham berkata jangkaan itu berdasarkan rancangan negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Fasa pertama pelan itu melibatkan PKP penuh selama dua minggu sejak awal bulan ini yang dilanjutkan lagi sehingga 28 Jun.

Dalam fasa kedua sepanjang Julai dan Ogos, lebih banyak aktiviti ekonomi akan dibenarkan namun sektor sosial akan kekal ditutup.

Seterusnya dalam fasa ketiga September dan Oktober, sektor sosial akan dibuka secara berperingkat.

Tempoh dua bulan terakhir yang disebut Noor Hisham sebagai fasa negara mencapai imuniti kelompoh itu akan menyaksikan seluruh sektor termasuk sektor sosial dibuka.

Webinar itu turut menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah dan seorang pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sirajuddin Suhaimee. – 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen