Bimbang varian Delta, Belgium larang kemasukan dari Britain


Belgium bimbang dengan varian Delta, yang pertama kali muncul di India dan menyebabkan lonjakan kes Covid-19 di Britain. – Gambar AFP, 20 Jun, 2021.

BELGIUM akan melarang kemasukan pelancong bukan Kesatuan Eropah (EU) dari Britain untuk mengekang penyebaran varian Covid-19 yang memaksa London menangguhkan penarikan balik sekatannya.

Britain berada dalam senarai 27 negara yang juga berdepan arahan itu berkuatkuasa selewat-lewatnya pada 27 Jun, kata Jan Eyckmans, jurucakap Menteri Kesihatan Frank Vandenbroucke, kepada AFP pada Sabtu.

Belgium bimbang dengan varian Delta, yang pertama kali muncul di India dan menyebabkan lonjakan kes Covid-19 di Britain, yang memaksa kerajaan UK menangguhkan kelonggaran dari 21 Jun.

Susulan sekatan Belgium, yang turut dikenakan kepada Afrika Selatan, India dan Brazil, hanya warga EU atau penduduk Belgium boleh masuk ke negara ini.

Pengembara masih perlu mematuhi peraturan kuarantin yang ketat serta mengambil ujian covid sebelum bebas bergerak di Eropah.

Satu-satunya pengecualian untuk pengembara Britain atau bukan EU yang datang dari negara dilarang adalah diplomat dalam bidang penting dan pekerja pengangkutan, kata kerajaan.

Setakat ini di Belgium, varian Delta menyumbang 6.1% jangkitan, menurut data rasmi terbaru, tetapi penyelidikan lain menunjukkan kadar sebenarnya lebih tinggi.

Eyckmans berkata kerajaan tidak mahu menjejaskan usaha dilakukan oleh Belgium ketika kadar vaksinasi negara itu menjadi yang terpantas di EU.

“Britain berada lima minggu di depan dalam usaha vaksinasi mereka dan terpaksa menangguhkan rancangan menarik balik sekatan,” kata Eyckmans.

“Tetapi ini adalah situasi sementara yang akan dinilai kembali secara berkala,” tambahnya.

Larangan itu akan memperketatkan keadaan semasa di mana pengembara Britain harus menunjukkan bukti perjalanan mereka ketika membuat lawatan dari Britain.

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat pada Jumaat oleh jawatankuasa Covid kerajaan Belgium yang menetapkan peraturan untuk mengekang penyebaran Covid-19 dan akan diterbitkan dalam jurnal rasmi dalam beberapa hari lagi.

Dari 27 negara yang dilarang, Britain dan Georgia adalah satu-satunya negara Eropah yang berada dalam senarai Belgium.

Negara lain adalah Botswana, Republik Demokratik Kongo, Jordan, Qatar, Nepal, Bolivia, Paraguay, Chile, Trinidad dan Tobago, Colombia, Bangladesh, Uganda, Argentina, Zimbabwe, Eswatini, Lesotho, Namibia, Mozambik, Suriname, Peru dan Pakistan. – AFP, 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen